Ads 468x60px

Jumaat, 16 Disember 2011

Peniaga uptown terus berdegil

KUALA LUMPUR - Peniaga bazar larut malam Uptown Danau Kota terus berdegil mahu menjalankan perniagaan pada hari yang tidak dibenarkan beroperasi walaupun keputusan henti operasi yang dikeluarkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih kekal.


Tinjauan Sinar Harian ke tapak lokasi perniagaan tersebut kelmarin mendapati ramai peniaga yang menunggu peluang membuka kedai masing-masing namun hasrat mereka tidak kesampaian berikutan adanya kawalan daripada DBKL.

Ada juga dalam kalangan mereka yang cuba menimbulkan provokasi kerana tidak puas hati, namun keadaan terkawal dengan adanya bantuan pemantauan daripada polis.

Difahamkan, peniaga berkeras mahu menjalankan perniagaan pada Khamis sebagai ganti tidak dapat beroperasi pada Isnin dan Selasa, walaupun sebelum ini mereka sememangnya tidak beroperasi bagi memberi laluan kepada pasar malam.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Komuniti Sosial DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, keputusan berhubung arahan henti operasi pada Isnin dan Selasa masih kekal.

Menurutnya, permintaan peniaga yang mahu beroperasi pada Khamis juga adalah tidak dibenarkan, memandangkan perkara tersebut terus mendapat bantahan penduduk sekitar yang terjejas.

“Tambahan pula bazar larut malam baru tidak lagi dibenarkan dan perkara tersebut sudah dimaklumkan oleh Menteri Wilayah di sidang Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, bantahan demi bantahan dinyatakan peniaga yang menyifatkan keputusan tersebut umpama menutup periuk nasi mereka.

Campur tangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini juga belum menunjukkan perkembangan memihak kepada peniaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk