PUTRAJAYA: Tujuh Pusat Kecemerlangan (CoE) Berpotensi dikenal pasti daripada 297 CoE di pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh negara, yang akan mendapat dana RM20 juta bagi membantu ia mencapai tahap Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) pada masa akan datang.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia membabitkan 10 universiti, dan insentif sebanyak RM2 juta akan diberikan bagi sebuah universiti sekali sahaja, sebagai tanda sokongan kementerian untuk melonjakkan keupayaan dan pencapaian CoE berpotensi dalam bidang tujahan masing-masing dengan mulanya di platform nasional.
"Di samping itu, ketujuh-tujuh CoE berpotensi itu juga akan dipandu arah dan dipantau pelan tindakan program penyelidikannya oleh kementerian melalui satu Jawatankuasa Sepakaran bagi memastikan keberhasilan yang disasarkan selain mampu memperoleh pengiktirafan penuh sebagai HICoE pada masa akan datang.
"Saya juga berharap agar CoE Berpotensi yang diumumkan pada hari ini akan mula mengorak langkah proaktif untuk turut bekerjasama dengan institusi-institusi penyelidikan tempatan yang lain serta menjalin kerjasama dengan pihak industri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) agar penemuan atau produk penyelidikan yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih cepat melalui perkongsian pintar yang terjalin," katanya pada majlis pelancaran CoE Berpotensi 2011 di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, lima CoE sedia ada yang berpotensi untuk diupayakan termasuk Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berkepakaran tinggi dalam bidang sains marin, Photonics Research Centre (PRC) Universiti Malaya (UM) yang memfokus kepada bidang sistem optik dan Centre for Research in Nanotechnology and Catalysis (NANOCEN) UM yang memberi tumpuan kepada bidang katalisis.
Beliau berkata dua lagi CoE sedia ada adalah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu sebuah institusi penyelidikan multi-disiplin iaitu memberi tumpuan kepada mengimbangi isu pembangunan dan alam sekitar serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM yang diberi peranan sebagai titik fokus untuk mewujudkan hubungan dengan institusi luar negara seperti Jabatan-jabatan Pengajian Melayu dalam usaha untuk menentukan strategi bagi memantapkan pengajian Bahasa Melayu. - BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan