Ads 468x60px

Khamis, 17 Mei 2012

Bersih: Ikhlas serah Suhakam memo tuntut ganti rugi


SHAH ALAM - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mahu merujuk tuntutan ganti rugi pihaknya kepada Suhakam berhubung kerugian dialami oleh ahli-ahlinya ekoran perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0.

Bersih 2.0 diadakan Julai lalu manakala Bersih 3.0 pula pada 28 April lalu. Ia dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0).

"Kami akan terus membuat tuntutan dan akan menyerahkan notis tuntutan ganti rugi RM817,205 kepada Suhakam pada 18 Mei ini (esok)," kata Pengerusi Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Katanya, pihaknya mahu Suhakam membuat satu keputusan berkenaan isu tuntutan berkenaan.

Kenyataan yang dibuat Ikhlas minggu lalu mahu Pengerusi Bersama 2.0, Datuk S. Ambiga bertanggungjawab atas segala kerugian yang terpaksa ditanggung oleh para penjaja kecil akibat perhimpunan berkenaan.

Sebagai tanda protes beberapa ahli Ikhlas membuka gerai burger di hadapan rumah Ambiga di ibu negara.

Ridzuan berkata, Ambiga masih  perlu menjelaskan  ‘hutang’ berjumlah RM817,205 dan kerugian peniaga dan penjaja di kawasan yang sama ketika penganjuran Bersih 2.0.

Ekoran protes dalam bentuk menjual burger, Ambiga membuat laporan polis pada 10 Mei lalu.

"Kami juga akan terus berniaga di hadapan rumah Ambiga jika beliau masih gagal menunaikan tuntutan kami dan akan berdepan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berkawal di depan rumah Ambiga," katanya lagi.

Polis dan anggota penguat kuasa DBKL membuat rondaan di kawasan kediaman Ambiga di Jalan Setiakasih 1, Bukit Damansara di sini.

Menurut sumber DBKL, mereka berada di situ semalam kerana menerima laporan ada kumpulan tertentu mahu mengadakan pasar malam di kawasan tersebut, yang mana menyalahi peraturan disebabkan tiada permit.

Mengulas langkah itu, Ridzuan berkata: "Ramai warga asing berniaga di sekitar Kuala Lumpur, DBKL tak ambil tindakan, tapi kenapa kami mereka nak diambil tindakan."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk