Ahad, 27 Mei 2012
Dakwaan provokasi: Raja Nong Chik beri kenyataan rasmi esok
KUALA LUMPUR - Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan memberi kenyataan rasmi esok berhubung insiden kekecohan ketika ceramah anjuran PKR Khamis lalu, yang didakwa didalangi Umno.
Raja Nong Chik yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar membuat kenyataan ini selepas merasmikan kempen gotong-royong membersihkan kawasan di sekitar kediaman anjuran Persatuan Penduduk Blok P20, Jalan Pantai Dalam di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Lembah Pantai Datuk Sazali Kamilin berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya mereka pencetus kekecohan semasa ceramah pembangkang itu dan menurutnya lagi, ia berpunca daripada ucapan provokasi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Umno, namun tidak pasti siapa yang memulakan insiden tersebut.
Ketua Penerangan Umno Lembah Pantai, Datuk Ibrahim Thambychik berkata, pihaknya merujuk kejadian tempoh hari sebagai satu manifestasi yang jelas menunjukkan penduduk Lembah Pantai menolak kepimpinan Anwar dan PKR pada malam kejadian.
“PKR cuba membuat spekulasi yang tidak berasas kerana daripada yang kita lihat, Anwar tidak lagi mendapat sokongan penduduk Lembah Pantai,” katanya semalam.
Kenyataan Umno itu kemudian dibalas oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menolak dakwaan Umno bahawa Anwar memulakan provokasi ketika ceramah berlangsung di pekarangan Pangsapuri Pantai Permai, Lembah Pantai tempoh hari.
Menurutnya, beberapa wartawan yang membuat liputan ceramah tersebut mempunyai bukti melalui rakaman video berhubung insiden yang berlaku.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan