PUCHONG – “Jika mahu anak kau selamat, serahkan wang sebanyak RM30,000, kalau tidak aku serahkan sebelah tangan, satu kaki atau mayat anak kau yang aku culik,” ugut seorang lelaki yang membuat panggilan palsu kepada seorang ibu mengatakan telah menculik anak wanita itu, petang Isnin lalu.
Lelaki yang membuat panggilan menggunakan kod nombor telefon antarabangsa terbabit dikatakan turut menyerahkan gagang telefon kepada seorang remaja lelaki kononnya anak mangsa supaya merayu ibunya menyerahkan wang tebusan diminta.
Mangsa, Goh berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan telefon seorang lelaki tidak dikenali di rumah yang didiami anak perempuannya di sini.
Katanya, dalam perbualan selama beberapa minit itu, remaja lelaki yang mempunyai suara mirip anaknya menangis-nangis meminta tolong dan mendakwa dipukul.
Menurutnya, budak lelaki yang didakwa sebagai anaknya bercakap dalam loghat Kantonis menyebabkan dia benar-benar percaya itu anak bongsunya.
“Budak lelaki yang mempunyai suara mirip anak saya berusia 25 tahun itu bercakap mak..mak..saya sudah kena hentam..badan muka semua berdarah. Dia juga memberitahu diculik berdekatan simpang rumah yang dihuni kami dekat sini ketika sedang berjalan kaki,” katanya.
Goh berkata, lelaki terbabit mengarahkannya ke sebuah bank di Bandar Puteri, Puchong dan menghantar duit kepada orang suruhan yang dikatakan menunggu di situ.
“Dia minta nombor telefon bimbit milik saya kerana sebelum itu hanya tahu dan membuat panggilan ke talian telefon rumah. Kerana terlalu takut kononnya ‘anak’ yang diculik diapa-apakan saya memberikan nombor telefon kepada lelaki itu,” katanya ketika mengadu perkara berkenaan kepada Ketua Biro Aduan Rakyat Puchong, Kuan Chee Heng.
Jelas Goh, dia cuba menghubungi telefon bimbit anaknya tetapi gagal menyebabkan dia mengambil keputusan ke rumah didiami anaknya dan terkejut apabila remaja lelaki itu berada di rumah.
Katanya, anaknya langsung tidak tahu menahu mengenai kejadian itu dan mendakwa tidak keluar rumah dan ke tempat kerja seperti biasa kerana tidak sihat.
Tidak terhenti di situ, Goh berkata, lelaki terbabit kemudian terus menghubunginya dan meminta menyerahkan wang sebanyak RM5,000.
Katanya, lelaki itu telefon dua kali ke talian telefon rumah dan memarahi pembantu rumah yang menjawab panggilan.
“Bimbang ia menggugat keselamatan keluarga, saya membuat laporan di Balai Polis Putra Perdana untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan