KUALA LUMPUR - Kerajaan menarik balik pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mendapat tentangan daripada ahli Parlimen kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kerajaan, pihak pembangkang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mencapai persetujuan menarik balik Rang Undang-Undang (Pindaan) Kesalahan Pilihan Raya itu.
"Esok saya akan membentangkan satu usul di Dewan Negara untuk menarik balik rang undang-undang berkenaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang tersebut pada 19 April setelah dibahaskan oleh anggota Parlimen selama tujuh jam. Dibentangkan pada 9 April, pindaan berkenaan bertujuan menambahbaik proses pengundian, termasuk menjauhkan lagi tempat bagi orang ramai menunggu atau berada dekat pusat mengundi pada hari mengundi daripada 50 meter kepada 100 meter, kecuali bagi mereka yang masuk untuk mengundi.
Mohamed Nazri berkata selain pendirian anggota Parlimen mengenai perkara berkenaan, pendapat orang ramai juga memain peranan dalam keputusan menarik balik Rang Undang-Undang itu.
Mengenai perkara lain, menteri itu berkata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof bukanlah seorang anggota Umno.
"Pendaftaran ahli Umno itu berlaku kira-kira 30 tahun yang lalu semasa beliau tinggal di Ampang, dan cawangan Umno di sana mengesahkan bahawa beliau tidak lagi menjadi anggota parti itu," katanya. -- Bernama
"Pendaftaran ahli Umno itu berlaku kira-kira 30 tahun yang lalu semasa beliau tinggal di Ampang, dan cawangan Umno di sana mengesahkan bahawa beliau tidak lagi menjadi anggota parti itu," katanya. -- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan