Ads 468x60px

Khamis, 17 Mei 2012

Malaysia kaji mansuh hukuman sebat Pati

\

JAKARTA - Hukuman sebatan terhadap pekerja asing yang diperuntukkan di bawah undang-undang imigresen akan dicadangkan supaya dimansuhkan kerana ia dilihat sebagai bersifat tidak manusiawi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri  Aziz.
Beliau berkata, istilah sebat itu sendiri untuk kesalahan imigresen sudah memberi persepsi kurang elok kepada Malaysia dan sehubungan itu kerajaan perlu mengkaji kaedah baru untuk menggantikan hukuman sebat terhadap pekerja asing yang tinggal di Malaysia tanpa permit yang sah.

"Saya akan berjumpa dengan Peguam Negara untuk membincangkan cadangan memansuhkan hukuman sebat kerana ia tidak membawa banyak manfaat sebaliknya,
hanya mengundang pandangan negatif orang luar terhadap negara," katanya ketika ditemui di sini.

Nazri yang mengetuai delegasi Kesatuan Antara Parlimen Malaysia dalam lawatan tiga hari ke sini mulai semalam, sebelum itu menemui Ketua Majlis Pemesyuaratan Rakyat (MPR) Indonesia Taufik Kiemas di kediamannya di Menteng, Jakarta Pusat.

Turut serta dalam rombongan beliau ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Balik Pulau Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Nazri, yang merupakan menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen dan undang-undang berkata, sejak hukuman sebat diperkenalkan terhadap pekerja asing, masalah pekerja asing tanpa izin tidak berkurang, sebaliknya menjadi semakin bertambah.

"Justeru, kaedah baru bentuk hukuman misalnya mengenakan denda yang tinggi boleh digantikan dengan hukuman sebat," katanya.

Kemajuan teknologi dengan adanya sistem biometrik sekarang, katanya, boleh juga menjadi antara alat yang berkesan untuk mengawal kemasukan pekerja asing
tanpa izin ke Malaysia.

Ditanya sama ada Malaysia juga bercadang memansuhkan hukuman sebat bagi kesalahan lain, Nazri berkata, hukuman sebat tidak sesuai untuk kesalahan kecil seperti kesalahan imigresen tetapi bagi kesalahan besar seperti merogol, hukuman itu masih sesuai dilaksanakan.

Bagaimanapun jika rakyat mempunyai pandangan yang berbeza terhadap hukuman sebat bagi kesalahan merogol misalnya, pihak kerajaan bersedia untuk menimbangkan mengenai pemansuhannya.

Difahamkan bahawa sebilangan besar pekerja asing di Malaysia yang dikenakan hukuman sebat terdiri daripada rakyat Indonesia dan keadaan itu turut menyumbang kepada sentimen anti-Malaysia yang disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara itu.

"Kita tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa rakyat Indonesia yang datang secara haram ke Malaysia merupakan jumlah tertinggi yang dikenakan hukuman sebat berbanding dengan pekerja asing yang datang dari negara lain," kata Nazri.

Undang-undang imigresen Malaysia sekarang ada memperuntukkan bahawa warga asing yang masuk ke Malaysia tanpa permit yang sah boleh dikenakan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya dan boleh dikenakan hukuman tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Nazri percaya pemansuhan terhadap hukuman sebat seperti yang dicadangkan itu akan menjadikan udang-undang Malaysia lebih dihormati, selain membantu mengakrabkan lagi hubungan dua hala dengan negara-negara sahabat. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk