KUALA LUMPUR 17 Mei - Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammed Taiyab dan bekas Pegawai Operasi Pembangunan Pelancongan Malaysia Bhd. (Pempena), Mohammad Rosly Md. Selamat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan pecah amanah berjumlah RM888,000, lima tahun lalu.
Hakim Che Zulkifly Jusoh memutuskan demikian tanpa memanggil mereka membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Ketika keputusan yang memihak kepada kedua-dua tertuduh itu dibacakan, Mirza dan Mohammad Rosly dilihat tersenyum sambil memandang ke arah ahli keluarga dan rakan mereka yang memenuhi setiap ruang di dalam galeri awam mahkamah tersebut.
Dalam keputusannya, Che Zulkifly menyatakan, kedua-dua tertuduh tidak melakukan intipati penting dalam sesuatu pertuduhan yang membabitkan kes pecah amanah.
Selain itu, menurut beliau, keterangan pihak pendakwaan hanya bergantung kepada borang kiriman wang yang ditandatangani oleh Mirza dan Mohammad Rosly bertarikh 26 Februari 2007 sedangkan pertuduhan yang didakwa ke atas mereka adalah pada 27 Februari 2007.
Berikutan itu, beliau berpendapat, tarikh pertuduhan tidak dinyatakan dengan jelas oleh pihak pendakwaan.
Mirza, 55, dan Mohammad Rosly, 58, didakwa meluluskan pembayaran RM888,000 ke dalam akaun LCL Interior di Mashreq Bank Dubai bagi projek pembinaan restoran Malaysia di Dubai tanpa mematuhi syarat-syarat yang sepatutnya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Pempena di Tingkat 13, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, 41, Jalan Sultan Ismail di sini pada 27 Februari 2007.
Mirza ketika ditemu bual oleh pemberita di luar mahkamah menyatakan, beliau lega dan bersyukur dengan keputusan yang akhirnya dapat membersihkan namanya daripada dikaitkan dengan perbuatan itu.
Ini merupakan pembebasan Mirza kali kedua daripada pertuduhan di mahkamah.
Kali pertama dia dibebaskan pada 24 Julai 2009 oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan bersetuju menerima rawatan pergigian berjumlah RM13,860 tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat.
Sementara itu, Mohammad Rosly menganggap dua tahun yang dilaluinya sangat mencabar namun dia yakin dengan sistem keadilan di negara ini dan turut berterima kasih atas kerja keras yang dilakukan oleh peguam-peguam yang mewakilinya.
Beliau diwakili oleh peguam Rajender Singh dan R. Ragumaran manakala Mirza diwakili oleh Datuk Saseedharan Menon dan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim dan Azlina Rasdi.
Sebelum bersurai, salah seorang ahli keluarga Mirza membaca doa kesyukuran di luar mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan