Ads 468x60px

Khamis, 10 Mei 2012

Nakhaie: Pas persoal fatwa kerana politik sempit

KUALA LUMPUR -  Pas mempertikai fatwa yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara semata-mata kerana kepentingan politik sempit mereka dan bersifat emosional, kata bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.

Katanya, dakwaan bahawa fatwa itu berat sebelah dan tidak adil yang dibuat oleh para pemimpin Pas adalah pandangan yang tidak berdasarkan ilmu malah menyesatkan.

"Pada saya keterangan polis yang berserta gambar sudah cukup jelas untuk membuktikan bahawa perhimpunan itu telah menyebabkan huru hara. Keterangan polis boleh dipercayai kerana mereka berada di tempat kejadian dan melakukan tugas
dengan profesional," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya, kenyataan para pemimpin Pas lah yang tidak boleh dipercayai kerana ia bersifat politik berat sebelah.

"Tengok sahaja kepada rusuhan itu pun sudah cukup menggambarkan ia mencetuskan huru-hara dan tak perlu mendapat penjelasan daripada penganjur," katanya ketika mengulas kenyataan para pemimpin Pas mengenai fatwa itu, yang
kononnya dibuat dengan sebelah mata dan tidak mendapat pandangan penganjur perhimpunan itu.

Nakhaie berkata memang sudah sifat Pas yang sering merasakan dirinya terbaik dan apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional semuanya salah.

“Itulah Pas, apa yang mereka buat, semuanya halal tetapi kalau kerajaan buat, haram. Kalau ikut pandangan yang tak berdasarkan ilmu, sesatlah jadinya," katanya.

 Meskipun muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia sudah mengeluarkan keputusan mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara baru-baru ini, namun ia masih terus dipersoalkan pembangkang.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa fatwa pengharaman mengenai perhimpunan yang disokong pembangkang pada 28 April lalu bersifat berat sebelah dan hari ini pula anggota jawatankuasa Pas Pusat Idris Ahmad turut
mengeluarkan kenyataan yang serupa.

Nakhaie yang juga pengerusi Pertubuhan Persahabatan Dakwah Global berkata, sesuatu fatwa yang dikeluarkan adalah berdasarkan dalil al-Quran, Qiyas dan juga Ijmak selain rujukan daripada para ulama. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk