Ads 468x60px

Sabtu, 26 Mei 2012

Umno Lembah Pantai: Dakwaan PKR tidak berasas

KUALA LUMPUR – Umno mendakwa PKR membuat dakwaan tidak berasas kononnya ceramah anjurannya di Lembah Pantai diserang oleh pihaknya selepas menyedari komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sudah tidak lagi mendapat sokongan.
Ketua Penerangan Umno Lembah Pantai, Datuk Ibrahim Thambychik berkata, pihaknya merujuk kejadian kelmarin sebagai satu manifestasi yang jelas menunjukkan penduduk Lembah Pantai menolak kepimpinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR pada malam kejadian.
“PKR cuba membuat spekulasi yang tidak berasas kerana daripada yang kita lihat, Anwar tidak lagi mendapat sokongan penduduk Lembah Pantai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bagaimanapun kata beliau, pihaknya tidak bercadang membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Ceramah PKR yang diadakan di pekarangan Apartmen Pantai Permai, Lembah Pantai dicemari insiden ganas apabila pemimpin dan hadirin ceramah dilempar dengan batu dan telur.
Semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa insiden terbaru ini bukti Umno tidak menghormati demokrasi apabila sanggup menyerang dengan ganas dan seolah-olah terdesak mempertahankan kuasa mereka.
Ibrahim juga berkata, sejurus kejadian tersebut Anwar yang juga Ketua Umum PKR mengeluarkan perkataan kasar yang ditujukan kepada ahli Umno.
Beliau menafikan dakwaan dibuat PKR dan turut meluahkan rasa kesal apabila Ketua Pembangkang tidak menunjukkan teladan yang baik dengan mengeluarkan perkataan kasar di hadapan ratusan hadirin.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Lembah Pantai, Datuk Mohamad Sazali Kamilan menambah, seorang anggota Pemuda Umno turut tercedera dalam kejadian malam itu akibat dibaling batu dan dibawa ke klinik bagi mendapat rawatan.
“Insiden pada malam itu tidak ada kaitan dengan Umno, jadi tuduhan PKR ini tidak berasas sama sekali,” ujar beliau.
Tambah  beliau, seramai 50 orang belia Lembah Pantai berkumpul di Putrajaya bagi menjayakan Hari Belia 2012 pada malam itu selain satu program anjuran Majlis Permuafakatan Muslim Lembah Pantai turut diadakan di kawasan yang sama.
Laporan Bernama memetik Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau memandang serius tuduhan tersebut dan ia sedang disiasat bagi mengenalpasti individu yang memulakan kekecohan.
Sementara itu, anggota PKR, Raja Ismail Raja Din yang cedera di bahagian kepala akibat dibaling dengan bearing motorsikal dalam insiden itu  membuat laporan polis di Balai Polis Pantai, hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk