Ads 468x60px

Jumaat, 8 Jun 2012

Keputusan perniagaan betul penting untuk kejayaan PROTON: Tengku Mahaleel

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd mempunyai segala-galanya untuk menjadi syarikat yang menguntungkan dan berjaya sekiranya DRB-Hicom Bhd membuat keputusan perniagaan yang betul, kata bekas ketua syarikat pembuat kereta nasional itu, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff. 

Beliau berkata, dengan meletakkan orang yang tepat untuk meneraju syarikat itu akan menjadi perkara yang sangat penting untuk memacu Proton kembali kepada kegemilangan.
"Mana-mana perniagaan boleh diubah secara positif atau negatif, bergantung kepada keputusan yang diambil oleh pihak pengurusan," kata Tengku Mahaleel yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Proton selama lapan tahun di sini, hari ini.
"Dalam mana-mana perniagaan, adalah suatu yang asas meletakkan orang yang betul dalam tempat yang tepat. 

"Lihatlah (Tan Sri) Tony Fernandes, bagaimana beliau membawa AirAsia tahap gemilang dan Celcom. Semua tentang orang. Syarikat tidak pernah bersaing antara satu sama lain. 

"Hanya manusia yang bersaing. Dalam hal itu, kita memerlukan orang yang bijak dan yang sesuai untuk menghadapi persaingan di luar sana," katanya. 

Tengku Mahaleel berkata, kini terpulang kepada DRB-Hicom untuk memutuskan orang yang paling sesuai untuk mengendalikan syarikat. 
Pada Januari, pengurus aset negara, Khazanah Nasional Bhd mengumumkan penjualan 42.74 peratus pegangannya dalam Proton kepada DRB-Hicom pada RM1.291 bilion. 

Penjualan tersebut telah dimuktamadkan pada Mac dan DRB-Hicom melantik Pengarah Urusannya Datuk Seri Mohd Khamil Jamil sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif Proton, menggantikan Datuk Seri Nadzmi Salleh, yang mengemukakan peletakan jawatan beberapa hari selepas selesainya urus niaga itu. 

Akhir bulan lalu, pembuat kereta nasional itu mengumumkan bahawa Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Azhar Othman telah memilih untuk meletak jawatan masing-masing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan, pada Julai tahun ini. 

Rata-rata menjangkakan Ketua Pegawai Operasi DRB-Hicom, Datuk Lukman Ibrahim bakal mengambil alih jawatan Syed Zainal. 

Ketika mengulas keupayaan DRB-Hicom untuk memacu Proton ke tahap kegemilangan di masa depan, Tengku Mahaleel berkata: "Saya tidak dapat mengulas mengenai DRB-Hicom atau keputusan yang mereka ambil kerana saya tidak pernah bekerja dengan mereka. Saya tidak pasti bagaimana cara perniagaan mereka. " 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, industri kereta global mengalami perubahan pantas dengan pelbagai pemangkin dan industri bertumpu kepada segmen yang terdiri daripada kumpulan yang boleh membeli kereta. 

"Tetapi pasaran itu hanya 600 juta orang di seluruh dunia. Orang tanpa kereta adalah kira-kira dua bilion. 

"Itulah sebabnya Tata Motors di India mengeluarkan kereta Tata Nano. Ia mampu dimiliki. Proton juga boleh melihat ke dalam bidang ini," katanya. 

Tengku Mahaleel menyertai Proton pada 1996 sebagai Naib Presiden strategi dan operasi, dan kemudian dinaikkan pangkat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd pada April 1997. 

Beliau menyandang jawatan tersebut sehingga September 2005. - BERNAMA 


Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk