Ads 468x60px

Jumaat, 8 Jun 2012

Lotus pecat Dany Bahar, lantik COO

KUALA LUMPUR: Group Lotus plc hari ini mengesahkan bahawa perkhidmatan Dany Bahar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lotus ditamatkan, berkuatkuasa serta merta. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Norfolk, syarikat itu berkata keputusan itu dibuat oleh lembaga Group Lotus plc berikutan keputusan satu penyiasatan tentang aduan yang dibuat terhadapnya oleh syarikat pegangan kedua terakhir syarikat itu, DRB-HICOM Bhd.
Syarikat itu juga mengumumkan pelantikan penduduk tetap Britain, Aslam Farikullah, 51, sebagai Ketua Pegawai Operasi berkuatkuasa serta merta.
Aslam yang juga seorang graduan kejuruteraan dari University of Bath, England, mempunyai pengalaman kerja selama lebih 26 tahun, yang kebanyakannya dalam industri automotif. 

"Saya ingin memberikan jaminan bahawa kami tetap komited dalam memastikan kesinambungan operasi perniagaan Lotus Group sekarang dan akan datang seiringan dengan usaha kami membawa kumpulan ini ke tahap yang lebih tinggi agar kekal relevan dalam industri automotif dunia. 

"Saya benar-benar ingin membawa faedah bersama kepada bukan sahaja DRB-HICOM dan PROTON Holdings Bhd malah juga Lotus Group dan pekerjanya, serta menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif Britain," kata Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, Pengarah Urusan DRB-HICOM Group dan Pengerusi Lotus. - BERNAMA 


Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk