JAKARTA: Bekas menantu Presiden Soeharto, yang juga Ketua Dewan Pembina Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) Prabowo Subianto adalah tokoh paling popular dalam kaji selidik terkini sebagai calon Presiden Indonesia 2014.
Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Soegeng Sarjadi Syndicate itu, populariti Prabowo mengatasi bekas Presiden, Megawati Soekarnoputri dan bekas Naib Presiden, Jusuf Kalla.
Prabowo, yang juga bekas pegawai tinggi tentera darat Indonesia yang berpangkat jeneral tiga bintang itu dipilih oleh 25.8 peratus daripada 2,192 responden sebagai calon presiden Indonesia 2014 kerana dianggap tegas dan berani membuat keputusan.Megawati, Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) berada di kedudukan kedua dengan mendapat 22.4 peratus sokongan, Jusuf Kalla tokoh dari Parti Golkar di tempat ketiga dengan 14.9 peratus sokongan manakala Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie mendapat 10.6 peratus sokongan.
Aburizal, yang lebih popular dengan nama Ical, sedang diketengahkan oleh Golkar sebagai calonnya dalam pilihan raya umum Presiden Indonesia 2014, walaupun mendapat bantahan daripada penyokong Jusuf Kalla.
Pada 2014, genaplah dua penggal Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang juga Ketua Dewan Pembina Parti Demokrat menjadi Ketua Negara dan perlembagaan Indonesia tidak membenarkan beliau bertanding lagi untuk mempertahankan jawatannya.
Setakat ini, parti Demokrat belum membuat keputusan siapa yang akan dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum presiden 2014. - BERNAMA
Sumber : Berita Harian Online
Khamis, 7 Jun 2012
Prabowo calon Presiden Indonesia paling popular: Kaji selidik
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan