Ads 468x60px

Ahad, 10 Jun 2012

Ronaldo nafi Portugal bergolak


LVIV, Ukraine - Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mengakui tidak berputus asa meskipun gagal menyinar semasa pasukannya tewas 0-1 kepada Jerman dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 di Arena Lviv awal pagi semalam.
Sebaik wisel penamat ditiupkan pengadil, peledak Real Madrid itu dilihat tergesa-gesa meninggalkan padang menerusi terowong stadium berbanding rakan-rakan sepasukannya yang lain.
Malah, Ronaldo, 27, juga dilihat tidak berpuas hati apabila tergesa-gesa menanggalkan lilitan kapten sebaik perlawanan tamat selain turut dilaporkan berang apabila permintaannya yang mahu diberikan botol minuman pada penghujung perlawanan dilihat tidak diendahkan pegawai Portugal.
Prestasi hambar Ronaldo bersama Portugal setakat ini juga mengundang kecaman peminat yang lantang mengkritik pemain itu dilihat cukup cemerlang bersama Real dan Manchester United.
"Tidak ada perlawanan yang sempurna. Saya tidak akan berputus-asa semata-mata kerana gagal beraksi dengan baik dalam satu-satu perlawanan.
"Selepas ini saya akan berusaha gigih bagi menghidupkan semula peluang Portugal mara lebih jauh dalam kempen kali ini," kata Ronaldo.
Tengah malam Rabu ini, Portugal bakal berdepan Denmark di Arena Lviv, Ukraine bagi menghidupkan semula peluang menyambar slot ke suku akhir.
Ia begitupun satu tugas yang cukup berat buat skuad kendalian Paulo Bento memandangkan Denmark masih segar dengan kejayaan mengejutkan pasukan pilihan, Belanda dengan keputusan 1-0 dalam satu lagi aksi kumpulan, kelmarin.
Dalam pada itu, pemain pertahanan Jerman, Jerome Boateng mengakui gembira dapat mengekang Ronaldo.
"Semua orang tahu Ronaldo sememangnya pemain berkelas dunia.
"Kami memerlukan kerjasama sepasukan untuk merantai Ronaldo dan itu yang berjaya kami lakukan," katanya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk