Ads 468x60px

Selasa, 12 Jun 2012

Selesai masalah keluarga secepat mungkin, MSN nasihat Chong Wei

KUANTAN – Jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dinasihat menyelesaikan masalah yang melibatkan keluarganya secepat mungkin bagi membolehkan beliau memberi perhatian kepada usaha pemulihan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, tindakan segera itu perlu bagi memastikan Chong Wei menjalani pemulihan dan latihan dengan tenang.

“Saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada beliau (Chong Wei) semalam (kelmarin) memintanya untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

“Antara SMS yang saya hantar berbunyi, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’,” katanya.

Katanya, susulan SMS berkenaan, Chong Wei segera membalas dan berjanji akan menyelesaikan masalah keluarganya dengan baik.

“Beliau juga memberitahu kepada saya supaya jangan terlalu bimbang kerana semuanya akan berakhir dengan baik.

“Saya percaya Chong Wei dapat selesaikan masalah ini dan orang luar tidak perlu campur tangan. Ini masalah keluarga beliau,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau ada menawarkan bantuan kepada Chong Wei sekiranya jaguh negara itu memerlukan pertolongannya.

“Kami mempunyai hubungan baik, sebelum ini pun jika ada masalah, beliau akan memaklumkan kepada saya,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian semalam, bapa Chong Wei, Lee Ah Chai menafikan laporan media yang mengaitkannya dengan cubaan membunuh diri di atas Jambatan Pulau Pinang, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk