Ads 468x60px

Ahad, 23 September 2012

IPTA zon bebas politik kepartian

PASIR GUDANG - Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah  kawasan zon bebas dan berkecuali daripada pengaruh politik kepartian, kerajaan atau pembangkang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara ini perlu dipastikan fungsi IPTA sebagai pusat menimba ilmu terus relevan, sekali gus dapat menjayakan falsafah pendidikan negara.

Katanya, institusi adalah pusat ketamadunan sesuatu negara dan bangsa, seterusnya menjamin kemajuan negara pada masa depan.

“Maka, ia bukanlah tempat berpolitik kerana ia boleh menyebabkan tumpuan yang seharusnya diberikan oleh penuntut terhadap pengajian akan terganggu.

“Justeru, peluang berada di universiti harus digunakan sebaiknya untuk mencari ilmu pengetahuan, berfikir dan mencari formula baru demi kebaikan negara dengan membangunkan bidang tertentu terutamanya dari sudut intelektual di kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita sejurus merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port, semalam.

Mohamed Khaled berkata, sekiranya pengaruh politik kepartian tersebut menular ke universiti, pelbagai impak negatif boleh berlaku termasuk menyebabkan penuntut tidak mampu berfikir secara kreatif dan kritis akibat ketaksuban terhadap parti tertentu.

Beliau juga mengulas mengenai pilihan raya kampus 2012, yakin penuntut IPTA kini matang membuat pilihan terhadap bakal pemimpin yang akan mewakili mereka di peringkat kampus kelak.

Katanya, kematangan mereka diterjemah menerusi pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang memberi pengiktirafan terhadap kematangan dan kebebasan mereka dalam berfikir dan menyatakan sesuatu pandangan.

“Sehingga kini, sebanyak lima universiti sudah menjalankan pilihan raya kampus pada 20 September lalu manakala 15 IPTA lagi akan mengadakannya pada 25 September ini.

“Proses pemilihan berkenaan berlangsung dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini meskipun pihak kementerian menjangkakan akan ada sedikit bantahan yang akan berlaku di beberapa universiti,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk