SERI ISKANDAR (PERAK TENGAH) - Sebuah pondok dalam kebun pisang dan kelapa Sawit yang terletak di Kampung Tersusun Bukit Lada, Kampung Gajah dan dipercayai dijadikan 'port' dadah, diserbu polis pada 23 September lalu.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki berumur 41 tahun yang juga penjaga kebun berkenaan diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, ketika serbuan yang dilakukan pada jam 7.20 pagi itu, suspek ditangkap bersama enam penagih lain yang sedang khayal.
Menurutnya, pondok yang terletak tiga kilometer dari jalan besar itu, dijadikan sebagai ‘port’ mengedar dan menghisap dadah.
“Hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu , kita menjumpai lima peket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 29 gram berada di dalam beg miliknya.
“Dadah yang dianggarkan berharga RM1,200 itu, dipercayai boleh menampung bekalan untuk 30 penagih,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.
Mohamad Fakri berkata, serbuan tersebut dibuat hasil maklumat orang awam yang mengadu mengenai kegiatan tidak bermoral berlaku di pondok berkenaan.
Jelasnya, siasatan terhadap suspek mendapati, lelaki itu merupakan pengedar kecil-kecilan yang mengambil stok dadah dari Teluk Intan.
"Lelaki berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori," katanya.
Sumber : Sinar Harian
Jumaat, 28 September 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan