Titah baginda, peranan universiti kini tidak lagi sekadar menghasilkan graduan dan penyelidikan untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan, malah dapat bersaing di peringkat global.
Justeru beliau berharap pihak universiti khususnya UniMAP, berusaha melahirkan graduan dan reka cipta yang lebih berimpak sekali gus mampu mengubah kebiasaan.
"Ini adalah kerana untuk kita terus kekal berada di depan, kita mesti berjiwa besar menjadi masyarakat yang berkemampuan dan mahu melakar dan mengubah sejarah," titah baginda yang juga Canselor UniMAP.
Selain itu, baginda bertitah melalui pencapaian cemerlang itu, ia dapat dimanfaatkan demi kesejahteraan serta kelestarian manusia sejagat.
Pada majlis konvokesyen itu, seramai 1,830 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing meliputi 12 graduan Doktor Falsafah, 61 graduan Sarjana Sains, 1,230 Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, 284 Sarjana Muda Perniagaan dan 243 menerima Diploma Kejuruteraan.
Sementara itu, empat tokoh menerima Ijazah Kehormat iaitu bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan (Hon.D.Mgt.) dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Augustine Ong Soon Hock, penyelidik terkemuka dalam bidang kimia lipid dan minyak sawit, menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains (Hon.D.Sc.).
Dua lagi penerima ialah Presiden Athlone Institute of Technology (AIT), Ireland, Prof Ciaran O' Cathain, menerima Hon.D.Mgt. manakala, Naib Presiden Pembangunan Industri dan Penyelidikan Kulim Technology Park Corporation, Annuar Mohd Saffar menerima Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan.
Sumber : Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan