Sepang: Perkongsian maklumat dengan pelbagai agensi asing yang terbabit dalam siasatan kehilangan pesawat MH370 tidak menjejaskan keselamatan negara kerana ia masih dalam kawalan, kata Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

“Ia tidak dalam tahap yang membimbangkan. Tapi untuk jangka masa panjang, kita akan lihat semula kemampuan radar kita. Ini telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri,” katanya. 

Hishammuddin turut menolak teori pesawat itu dirampas dengan alat kawalan jauh. 


“Bagi saya ia tidak mungkin. Kalau ada maklumat yang sudah disahkan, kita pasti akan siasat,” katanya ketika ditanya mengenai laporan dalam media asing. 

Nafi tolak tawaran FBI 

Beliau juga menafikan laporan Malaysia menolak tawaran FBI untuk menghantar pasukannya ke negara ini. 

“Itu jelas satu maklumat palsu kerana Malaysia sudah bekerjasama dengan FBI, Interpol dan pihak berkuasa pelaksanaan undang-undang antarabangsa yang berkaitan sejak hari pertama insiden,” katanya. 
Semalam, pakar dari Pentadbiran Penerbangan Awam China turut menyertai pasukan penyiasat. Hari ini, pegawai dari Pejabat Siasatan dan Analisis bagi Keselamatan Jabatan Penerbangan Awam Perancis tiba bagi berkongsi pengalaman mereka dengan pasukan itu. 

Semua pihak terbabit bekerjasama dengan MAS dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk memperhalusi data yang boleh membantu pencarian pesawat itu. 

Semak senarai penumpang 

Hishammuddin juga berkata pihak risikan dan berkuasa China telah diminta melihat kembali senarai penumpang yang membabitkan rakyat negara itu. 

Menjawab soalan jika pihak berkuasa menyiasat kemungkinan juruterbang pesawat bertindak membunuh diri, Hishammuddin berkata, polis melakukan siasatan dari pelbagai sudut.