Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, langkah Karpal untuk mengundurkan diri dilihat amat bersesuaian dengan situasinya sekarang dan boleh berehat panjang setelah sekian lama berdepan masalah kesihatan.
"Kita patut bagi ruang kepada orang lain terutama muka baru menjadi pemimpin," katanya kepada media di pejabat DAP Kedah.
Sebelum ini Karpal Singh didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi pada 11 Mac mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948, kerana mempersoalkan keputusan Sultan Perak menggugurkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Februari 2009.
Dalam satu kenyataannya, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, beliau tidak lagi layak memegang jawatan berkenaan berikutan keputusan mahkamah itu.
Ia sejajar peruntukan Seksyen 9A, Akta Pertubuhan 1966 yang melarang sesiapa yang dijatuhi hukuman denda lebih daripada RM2,000 atau penjara setahun memegang jawatan.
Guan Aik berkata, Karpal sepatutnya bersara lebih awal namun sekarang masih belum terlambat untuk berbuat demikian.