KUALA TERENGGANU – Sebanyak 11 masjid dikesan tidak mendapat pengiktirafan oleh institusi agama sehingga menyebabkan berlakunya senario dua jemaah solat Jumaat secara berasingan di dalam satu-satu kariah atau kawasan di negeri ini.
Pesuruhjaya, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh berkata, bagaimanapun jumlah itu sudahpun berkurangan berbanding 23 masjid yang tidak diiktiraf sejak 2001.
Menurutnya, JHEAT telah melakukan permantauan dan akan menghantar laporan lengkap berhubung perkara itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk tindakan selanjutnya.
“Kita dapati senario ini banyak berlaku di daerah Besut dan satu kawasan di Marang, malah perkara ini juga telah dibawa pada Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu oleh Adun Jabi, Ramlan Ali.
“Justeru, kita mencadangkan supaya Maidam sebagai institusi agama tertinggi di negeri ini dapat disembah maklum kepada Tuanku Sultan dalam menangani masalah ini daripada berterusan,” katanya ketika ditemui sebelum Program Temu Mesra SUK bersama Kakitangan Kompleks Seri Iman bermula di sini kelmarin.
Program itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah yang turut dihadiri Mufti Terengganu, Datuk Dr Alias Abdullah.
Sementara itu, katanya, senario itu sudah berlarutan bertahun lamanya, di mana ketika pemantuan dilakukan pihaknya, berlaku pelbagai sekatan melibatkan pihak tertentu sehingga menyebabkan perkara ini masih berlarutan sehingga ke hari ini.
“Malah ada segelintir penduduk yang bertindak diluar jangkaan dengan tidur di bawah jengkaut sebagai usaha memprotes tindakan yang kita lakukan.
“Tujuan kita adalah untuk menyelesaikan isu ini dengan baik dan berharap seluruh masjid di negeri ini tidak mencampur aduk unsur politik atau kepartian dalam pentadbiran masjid,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu jawatankuasa kecil akan ditubuhkan bagi menangani dan memperhalusi perkara itu sebelum dipersembahkan kepada Tuanku Mizan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan