KOTA BHARU- Nyawa penduduk di Kampung Sri Kulim Melor, di sini terancam berikutan jalan alternatif ke masjid dan sekolah yang dilalui terhakis akibat hakisan tebing sungai sejak 2009.
Mahu perhatian diberikan bagi mengelak sebarang kemalangan jiwa pada masa akan datang, wakil penduduk, Mahmud Mohd Nor, 48 menggesa pemimpin dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera.
“Jalan ini menjadi jalan alternatif kepada penduduk kampung yang mahu ke Pekan Melor, sekolah, Masjid Melor dan keluar ke Kota Bharu serta Pasir Puteh.
“Akibat banjir yang melanda kawasan ini, ia semakin membimbangkan kerana hakisan sudah terkena jalan berturap dan kami menjangkakan ia boleh runtuh bila-bila masa terutama jika banjir gelombang kedua melanda,” katanya kepada pemberita semasa penduduk mengadakan demonstrasi aman, di Kampung Sri Kulim Melor, di sini.
Beliau turut menggesa pemimpin dan PBT dapat datang sendiri ke kampung itu dan melihat hakisan yang berlaku yang boleh mengancam nyawa penduduk dan pengguna jalan itu.
“Kami mohon PBT sama ada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) datang sendiri turun padang melihat keadaan ini yang sejak 2009 tidak dibaiki.
“Jangan sampai berlaku satu tragedi kemalangan dan kehilangan nyawa barulah hendak baik pulih. Kami mencadangkan agar tembok batu atau besi dapat dibina di tebing sungai sebagai benteng tanah sungai yang runtuh,” katanya.
Ismail Mamat, 68, turut meluahkan kekesalannya kerana permohonan untuk memperbaiki kawasan hakisan itu pernah disampaikan kepada wakil rakyat, namun sehingga ke hari ini tiada tindakan dilakukan.
“Setiap kali banjir, penduduk mulai risau dan pada hari ini (semalam) kami berkumpul untuk menggesa wakil rakyat memberi perhatian serius untuk menunaikan tanggung jawab membela nasib penduduk.
“Ada wakil rakyat di sini jangan hanya masa pilihan raya baru hendak berkempen untuk mengundi. Kami minta Kerajaan Negeri atau Pusat datang dan melihat sendiri apa yang berlaku,” katanya.
Bagi Iskandar Yusoff, 39 yang tinggal berdekatan kawasan hakisan sungai itu berkata, masalah hakisan sungai perlu diatasi berikutan keadaannya semakin teruk dan pernah berlaku kemalangan kepada warga emas yang hendak ke masjid waktu Maghrib.
“Dahulu jarak jalan berturap dengan sungai agak jauh kira-kira dua meter, namun akibat air melimpah semasa banjir, hakisan sungai berlaku dan kini penduduk mengambil inisiatif meletakkan buluh sebagai penanda bahaya.
“Keadaan hakisan sedalam lebih tiga meter ke bawah tanah jalan berturap boleh menyebabkan ia runtuh dan didapati membahayakan terutama kenderaan yang melaluinya pada waktu malam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan