KOTA BHARU - Pas Kelantan menyerahkan kepada Pas Pusat untuk menentukan pencalonan anak kepada Menteri Besar, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan menantunya, Ariffahmi Abd Rahman sekiranya mereka berkelayakan untuk bertanding di Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) .
Timbalan Pesuruhjaya Pas III Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, sepanjang pengetahuannya, kedua-dua nama tersebut tiada dalam senarai calon peringkat awal yang diserah kepada Menteri Besar.
“Setahu saya (nama Nik Abduh, Ariffahmi) tidak ada, tetapi saya tidak tengok senarai yang terakhir sebab Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat ) yang memberi keputusan terakhir sebelum diserah kepada Pas Pusat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, semalam.
Sebelum ini, ura-ura mengatakan Nik Abduh yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat serta Ariffahmi buat pertama kali diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan.
Menteri Besar, Nik Aziz mengesahkan beliau akan bertanding di PRU 13 sekali gus menamatkan spekulasi mengatakan beliau akan bersara dalam politik.
Sementara itu, mengulas mengenai ura-ura mengatakan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub akan menentang Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas, Mohd Amar enggan mengulas lanjut, namun tidak menolak sekiranya menjadi keperluan kepada parti.
Dalam masa yang sama, katanya, Pas Kelantan tidak menolak sama sekali calon dari luar sebagaimana yang berlaku di PRU sebelumnya sekiranya ia memberi keuntungan kepada parti secara keseluruhannya.
“Terdapat banyak cakap-cakap mengenai penyenaraian calon, itu adalah biasa dan kebanyakan hanyalah spekulasi, begitu juga di sebelah sana (Umno), namun apa yang pasti Pas sudah senaraikan calon dan kita serah kepada Pusat, maknanya Pusat dan Majlis Syura akan buat keputusan terakhir, kalau Pusat kata perlu (calon luar), kita tak ada masalah,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan