![]() |
Mohd Fitri (kanan) ketika memeriksa Pati yang ditahan |
Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohamad Fitri Hassan berkata, seramai 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya ditahan dalam serbuan jam 5 petang hingga 12 tengah malam, yang terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh, lapan lelaki Myanmar dan seorang lelaki serta dua wanita warga Indonesia berusia 17 hingga 46 tahun.
Menurutnya, operasi yang disertai 28 penguat kuasa Imigresen itu berjaya menahan semua Pati yang dipercayai bekerja sebagai buruh binaan.
“Seorang wanita ditahan kerana melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini, manakala selebihnya tinggal tanpa sebarang pas atau permit sah,” katanya kepada pemberita, semalam.
Dalam operasi sama di sebuah motel berhampiran Shahab Perdana, pihak Imigresen turut menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 24 tahun, manakala tiga lelaki dan seorang perempuan warga Myanmar di sebuah rumah di Kampung Alor Merah.
Sementara itu, operasi sama turut dilakukan di Sungai Petani membabitkan rumah urut dan dan kawasan perumahan berjaya menahan 27 Pati dan seorang lelaki tempatan berusia 20-an.
Mohamad Fitri berkata, pada operasi di taman perumahan seorang Pati cuba melarikan diri menerusi bumbung namun tidak berjaya apabila ditahan penguat kuasa.
“Ketika operasi dijalankan berhampiran Taman Sejati Indah, lima wanita warga Thailand dan seorang lelaki tempatan yang cuba menutup rumah urut itu ditahan, manakala tiga wanita warga Thailand berusia 30 hingga 52 tahun ditahan di rumah urut tapak kaki.
“Kita juga menahan seorang wanita warga Thailand di salon rambut di kawasan perumahan itu kerana melanggar syarat pas dan permit,” katanya.
Menurutnya, operasi sama di sekitar Kampung Padang Temusu, berjaya menahan dua lelaki warga Bangladesh, Myanmar (8 lelaki), Nepal (1 lelaki) dan Indonesia (8 lelaki dan 3 wanita).
Katanya, daripada 72 Pati diperiksa, 44 ditahan di tujuh lokasi atas kesalahan tiada permit sah.
Semua Pati ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1956/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1956/63 (Pindaan 2002) dan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Juru untuk tindakan lanjut.
SUMBER : SINAR HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan