Ads 468x60px

Selasa, 22 Mei 2012

Akses media: Kertas Kabinet sudah siap



KUALA LUMPUR - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menyediakan kertas Kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya mereka kepada orang ramai.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, dokumen itu disediakan berikutan permintaan yang diterima kementerian.

"Tapi perlu ada peringatan. Pendedahan manifesto harus terhad dari segi masa dan mesti mengikut peraturan yang sedia ada di kementerian.

"Ia bukan sesuatu yang bebas untuk semua. Ia harus berasaskan nilai berita setiap kenyataan. Bagi manifesto, kami telah menggariskan asas sama rata bagi semua parti, termasuk Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemikiran perdana menteri di sini hari ini.

Rais berkata, kementerian itu berharap dapat membincangkan perkara ini dengan pelbagai parti "yang merasakan kami patut memperbaiki aspek pembentangan." "Tetapi sekali lagi saya harus katakan bahawa peraturan di kementerian patut diteliti dan ketertiban tertentu harus diikuti juga," tegas beliau.

"Ini demi demokrasi dan amalan kesaksamaan mengikut undang-undang," katanya.
Akses media yang bebas dan adil ialah antara 22 saranan yang dibuat oleh Jawatakuasa Pilihan Parlimen yang diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selepas mereka meluluskan tanpa bahas di Dewan Rakyat pada 3 April.

Mengenai seminar itu, yang bertemakan 'Ke arah Pemupukan Kesepaduan dalam Kepelbagaian Masyarakat 1Malaysia', Rais berkata, program seumpama itu perlu diperbanyak kerana mampu menjelmakan pemahaman yang lebih mudah kepada generasi baru berhubung aspirasi setiap perdana menteri dalam membangunkan negara.

Menjadikan cetusan idea beberapa bekas perdana menteri sebagai contoh, beliau berkata pandangan atau idea yang dilontarkan mereka perlu dilihat dari konteks dasar yang telah diwujudkan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk