KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyertai Johor Corporation (JCorp) untuk menjadi pemegang saham Massive Equity Sdn. Bhd. (Massive Equity).
Massive Equity merupakan syarikat yang ditubuhkan khusus untuk aktiviti pemerolehan QSR Brands Bhd. (QSR) dan KFC Holdings (M) Bhd. (KFC).
Melalui pemeteraian perjanjian pemegang saham tersebut, JCorp akan mengekalkan pegangannya sebanyak 51 peratus dalam Massive Equity manakala konsortium yang diterajui KWSP membentuk baki pegangan sebanyak 49 peratus melalui Melati Asia Holdings Ltd. (Melati Asia).
Melati Asia dimiliki 51 peratus oleh KWSP manakala bakinya dipegang oleh CVC Capital Partnes dari Britain.
Ini bermakna 76 peratus daripada Massive Equity dimiliki syarikat tempatan.
Mengulas lanjut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, KWSP yang merupakan dana simpanan persaraan terulung negara itu akan mengukuhkan lagi kedudukan JCorp dalam memastikan tadbir urus korporat serta pertumbuhan berterusan bagi salah satu daripada pelaburan utama syarikat.
"Kami amat menghargai keyakinan KWSP dan berbangga dapat bersama-sama bergabung tenaga dalam detik yang amat penting buat JCorp," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menjelaskan, pihaknya berkeyakinan terhadap pelaburan dalam perniagaan yang menjana wang tunai ini akan mencapai sasaran jangka panjangnya untuk memberikan pertumbuhan kewangan mapan dengan pulangan yang memuaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan