PUCHONG – Pembinaan laluan sementara di Jalan Puteri 9/2A Bandar Puteri di sini tetap diteruskan berikutan keadaan jalan utama sebelum ini tidak selamat digunakan penduduk.
Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Ir Ismail Shafie berkata, pihaknya sudah beberapa kali mengadakan mesyuarat koordinasi bagi menangani isu pembaikan selepas sebahagian tembok di laluan itu runtuh Mei tahun lalu.
Menurutnya, mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi pada 26 Mac lalu memutuskan laluan alternatif menggunakan sebahagian kawasan lot banglo milik seorang penduduk perlu dibina.
“MPSJ mengeluarkan notis dengan menggunakan Akta 133 pada 2 April lalu supaya empat pemilik unit kediaman terlibat merobohkan pagar bagi kerja pembinaan laluan sementara itu.
“Ini penting kerana pihak pemaju akan menjalankan kerja membuka semula bahagian panel tembok penahan sedia ada. Selain itu ia bertujuan mengukuhkan semula struktur tanah dan tembok penahan serta menjamin keselamatan penghuni di 58 unit rumah di Jalan Puteri 9/2,” katanya.
Beliau berkata, laluan sementara itu bakal digunakan penduduk untuk ke unit kediaman mereka tanpa melalui kawasan pembinaan.
Menurutnya, kerja pembinaan sudah dimulakan 6 April lalu dan setakat ini hanya membabitkan satu rumah sahaja.
Kerja pembinaan laluan sementara dijangka siap 20 April ini dan selepas ia siap sepenuhnya, pemaju, Flora Development Sdn Bhd akan menjalankan kerja pembaikan selanjutnya.
“Pihak Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) juga menjalankan kerja pemantauan dan geofizik secara ‘real time’ di kawasan tapak binaan untuk mengenal pasti punca sebenar mendapan jalan serta masalah berkaitan,” katanya.
Dalam sesi pertemuan bersama agensi berwajib di tapak tembok runtuh itu Jumaat lalu, beberapa penduduk berang terhadap cara penyelesaian isu itu.
Penduduk tidak berpuas hati dengan pemaju dan MPSJ yang didakwa membiarkan banyak persoalan tidak dijawab selain gagal mengemukakan dokumen diminta sebelum ini.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo memberi tempoh hingga minggu depan kepada pemaju untuk kemuka dokumen yang diminitkan dalam mesyuarat sebelum ini.
“Dalam mesyuarat lepas, penduduk mohon surat daripada pemaju untuk beri jaminan bahawa seluruhan kawasan Bandar Puteri 9 selamat diduduki.
“Ini bukan mengenai keselamatan penduduk di laluan tembok runtuh sahaja tetapi membabitkan keseluruhan kawasan atas bukit ini,” katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan