![]() |
Razif menunjukkan laporan yang dibuatnya dan replika telefon terbabit |
PUTRAJAYA – Hasrat seorang penjawat awam untuk memiliki telefon pintar tidak kesampaian apabila dia hanya menerima replika gadjet canggih itu selepas membayar sejumlah wang.
Razif Saman, 28, berkata, dia ditawarkan untuk membeli telefon pintar jenis iPhone 4S oleh seorang lelaki yang mengaku dirinya warganegara Taiwan.
Katanya, Ahad lalu kira-kira jam 10 pagi, dia yang ingin meletakkan kenderaan di kawasan parkir rumahnya di Fasa 10, Presint 9 selepas pulang dari pasar, dia didatangi lelaki terbabit.
Menurutnya, lelaki itu cuba menjual telefon tersebut dengan harga RM500 namun tidak dilayannya.
“Lelaki itu memujuk mengatakan dia menjual telefon berkenaan kerana tiada duit untuk makan malah menunjukkan kedua-dua poket seluarnya yang kosong ketika saya ingin beredar.
“Kerana bersimpati, saya cuba tawar harga dan selepas melihat telefon itu, saya yakin ia bukan tiruan kerana saya sendiri mencuba aplikasinya.
“Lelaki itu juga bersetuju untuk mengurangkan harga sehingga RM200,” katanya kepada Sinar Harian.
Razif berkata, ketika dia berpaling untuk mengambil wang di dalam kereta, lelaki itu dipercayainya menukarkan telefon asal kepada telefon tiruan atau replika.
Telefon itu kemudiannya diletakkan dalam poket seluarnya selepas dia menyerahkan bayaran.
“Ketika saya cuba mengeluarkan telefon berkenaan, saya dihalang dan lelaki itu terus beredar selepas memperoleh bayaran,” katanya.
Menurutnya, dia seolah-olah terpukau dengan pujukan dan hanya mengikut kata lelaki terbabit tetapi tersedar selepas pulang ke rumah.
Katanya, ketika mengeluarkan telefon tersebut, dia cuba untuk mengaktifkannya tetapi gagal.
“Saya ke kedai telefon untuk mendapatkan kepastian dan dimaklumkan ditipu malah telefon itu hanya replika untuk pameran,” katanya.
Razif berkata, bulan lalu rakannya turut kerugian RM550 kerana penipuan sama.
Menurutnya, susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
SUMBER: SINAR HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan