Ads 468x60px

Rabu, 30 Mei 2012

Mandeep Singh gagal kes saman PTPTN

KUALA LUMPUR - Seorang peminjam yang disenarai hitam atas dakwaan gagal melunaskan pinjaman pengajiannya, gagal dalam samannya terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN).

Hakim Mahkamah Sesyen Unaizah Mohd hari ini menolak saman pegawai bank Mandeep Singh terhadap PTPTN dengan kos.

Dalam keputusannya, Unaizah berkata selepas mendengar keterangan daripada saksi-saksi dan hujah dari kedua-dua pihak, mahkamah mendapati plaintif (Mandeep) gagal membuktikan dakwaannya terhadap PTPTN.

Pada 20 Sept tahun lepas, pegawai bank Mandeep Singh memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Sivil terhadap PTPTN bagi memfitnah dan ditahan secara salah selepas beliau disenarai hitam atas dakwaan gagal melunaskan pinjaman pelajarannya.

Mandeep berkata di bawah perjanjian pinjaman pelajaran bertarikh 9 November 2006, PTPTN telah bersetuju meminjamkan RM48,000 kepadanya.
   
Mandeep, 27, menuntut RM19,000 sebagai ganti rugi khas bagi tiket penerbangan dan tempahan hotel, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau mendakwa beliau telah ditahan pegawai Imigresen di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang pada 6 Julai tahun lepas semasa beliau mahu berlepas untuk bercuti di Guangzhao, China.

Katanya beliau dimaklumkan oleh pegawai imigresen berkenaan yang namanya telah disenarai hitam dalam pangkalan data imigresen.

Bagaimanapun, beliau berkata PTPTN gagal memadamkan namanya daripada pangkalan data itu walaupun beliau telah memaklumkan kepada PTPTN untuk berbuat demikian.

Susulan kejadian itu, beliau mendakwa dirinya telah diaibkan di depan orang ramai dan mencemarkan imejnya.

Mandeep Singh memberitahu pemberita beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Tinggi. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk