Ads 468x60px

Ahad, 10 Jun 2012

Adam terima lawatan wakil Kerajaan Terengganu


SHAH ALAM – Keluarga pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali, 10 akan menerima lawatan wakil Kerajaan Negeri Terengganu, hari ini, di kediaman beliau di Seksyen 7, di sini.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, lawatan tersebut diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad bersama 10 ahli rombongan lain.

Menurutnya, keluarga beliau juga turut mengadakan kenduri doa selamat untuk Adam yang akan menjalani pembedahan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat yang dijadualkan pada 20 Jun depan.

“Alhamdulillah, dana yang diperlukan untuk membiayai pembedahan Adam telah mencukupi. Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu selama ini.

“Hanya ALLAH dapat membalasnya. Saya berharap orang ramai akan mendoakan keselamatan Adam,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Terengganu akan menyumbangkan RM100,000 untuk membiayai pembedahan Adam. Akbar berkata, jumlah yang diperlukan untuk membiayai pembedahan Adam sebanyak RM175,000 dan lebihan daripada dana yang diperolehi akan digunakan untuk membiayai kos rawatan susulan Adam di Malaysia.

“Kami akan ke sana pada 15 Jun nanti dan diharapkan perjalanan dan usaha kami akan dipermudahkan. Sekarang, saya memohon visa dan Jabatan Perdana Menteri telah menguruskannya.

“Pada Isnin nanti, kami akan ke pejabat Kedutaan Amerika Syarikat,” katanya.

Menurutnya, beliau sekeluarga bersyukur kerana segala usaha yang dilakukan untuk memberikan rawatan yang terbaik kepada Adam dipermudahkan.

"Kami juga berterima kasih kepada penderma dana Adam kerana sehingga ke hari ini, dana tersebut semakin bertambah.

“Saya juga berbesar hati kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudi meluangkan masa bertemu dengan anak saya dan membantu memberikan semangat dan pengurusan visa untuk mempercepatkan kami ke sana,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk