Ads 468x60px

Ahad, 10 Jun 2012

Tutup kedutaan Syria



KUALA LUMPUR - Pemuda Pas menggesa kerajaan segera menutup Kedutaan Syria di negara ini dan memanggil balik kakitangan diplomatik Malaysia di negara itu sebagai langkah memberi tekanan kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad yang didakwa melakukan kekejaman terhadap rakyatnya.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, selain itu, pihaknya mendesak Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) segera campur tangan bagi menangani krisis yang berlaku dan merayu agar kerajaan negara itu berhenti melakukan kezaliman.

“Kita gesa semua negara memberi perhatian serius terhadap krisis itu dan mendesak kerajaan Malaysia menutup Kedutaan Syria dan memberi tekanan kepada mereka agar tidak boleh beroperasi di negara ini, sehingga kekejaman dihentikan.

“Kita juga merayu kerajaan Syria supaya mengasihani rakyatnya dan tidak menjadikan mereka sebagai mangsa kekejaman.

Bayangkan, banyak angka korban dilaporkan baru-baru ini dan sebahagian besar melibatkan kanak-kanak dan wanita,” katanya ketika sidang media di Pejabat Agung Pas, semalam.

Menurutnya, Pemuda Pas juga telah menubuhkan pasukan khas yang dipengerusikan Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa bagi membantah kekejaman dan penindasan yang didakwa dilakukan rejim Bashar ekoran kebangkitan dan tentangan rakyat terhadap presiden Syria itu.

Katanya, pasukan khas itu secara konsisten akan mendesak OIC segera campur dan merayu kerajaan Syria menghentikan tindakan kejam ke atas rakyatnya.

“Kita juga mengecam keras campur tangan luar termasuk pihak-pihak yang mengambil kesempatan ke atas Syria sehingga mencetuskan perang saudara yang rumit untuk diselesaikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nasruddin berkata, Pemuda Pas menawarkan 13 tawaran terhadap anak muda yang akan diumumkan dalam program khas yang digelar Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya.

Tawaran itu meliputi aspek pendidikan, agama, sosial dan kerjaya yang akan diberi penekanan sekiranya mandat pemerintahan diberikan kepada Pakatan Rakyat (PR).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk