Ads 468x60px

Sabtu, 2 Jun 2012

Bekas Naib Ketua Hulu Selangor nafi kecewa dengan Umno

SHAH ALAM - Naib Ketua Umno Hulu Selangor, Yusri Ishak menafikan tindakannya keluar parti itu Khamis lalu disebabkan rasa kecewa kemungkinan tidak akan dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya sedar siapa diri saya. Saya berpegang pada pepatah ukur baju di badan sendiri. Jadi saya tidak pernah berfikir yang saya akan dicalonkan pada pilihan raya akan datang,” kata beliau yang menyandang jawatan itu sejak 2008.

Katanya, beliau mengisytiharkan keluar Umno serta-merta Khamis lalu dengan rela hati.

“Saya fikir sudah sampai masanya saya mengundurkan diri dari parti. Tiada sebab yang khusus untuk saya jelaskan kerana bagi saya penglibatan saya dalam bidang politik sudah cukup lama,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online, semalam.

Tambah beliau, keputusan untuk mengundurkan diri ini juga kerana bimbang akan hilang fokus dalam perniagaan yang sedang diusahakan.

“Cukuplah perjuangan saya bersama Umno selama 12 tahun ini. Sudah tiba masanya saya menumpukan sepenuh perhatian ke atas perniagaan dan keluarga saya,” tambah beliau.

Menurut beliau, pengundurannya dari Umno dilakukan pada masa yang tepat kerana baginya PRU13 tidak akan diadakan dalam jangka waktu terdekat.

“Jika PRU diadakan bila-bila masa dari sekarang, sudah tentu saya akan teruskan perjuangan saya bersama Umno,” katanya lagi.

Baginya, Umno mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan jentera pilihan raya dan pengundurannya tidak akan menjejaskan kedudukan parti.

“Saya juga tidak berfikir untuk menyertai mana-mana parti selepas ini," katanya.

"Biarlah saya dikenali sebagai rakyat biasa yang bebas. Tidak terikat dengan mana-mana parti,” katanya.

Yusri menafikan yang pengundurannya akan menyebabkan ramai pengikut beliau mengikut langkahnya.

“Bagi saya, penyertaan dalam mana-mana parti politik adalah hak individu. Tetapi saya tidak pernah mendesak ahli lain untuk keluar parti,” jelasnya.

Beliau tidak menolak untuk menyertai Umno semula kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang dan menyerahkan segalanya kepada takdir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk