GOMBAK - Kekeliruan terhadap dakwaan 18 pengundi pada alamat Lot 4830, Kampung Sungai Pusu terjawab apabila penduduk menggunakan alamat itu bagi urusan surat-menyurat alamat rumah mereka.
Perkara ini disahkan sendiri penduduk kampung yang menggunakan alamat lot tersebut yang merupakan sebuah kedai kopi.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Kemajuan dan Kampung (JKKK) Sungai Pusu, Mohd Yunos Ishak berkata, lebih kurang 10 rumah didirikan di sini, di mana kira-kira 32 keluarga tinggal di sini melalui penyewaan tanah.
Menurutnya, disebabkan rumah mereka tidak mempunyai alamat, mereka menggunakan Lot 4830 sebagai alamat rumah mereka untuk urusan surat-menyurat.
“Penempatan ini dihuni warga Indonesia dari Keramat yang mempunyai kad pengenalan merah dan telah menyewa tanah di sini sehinggalah wujud perkampungan.
“Berhubung isu pengundi di sini, saya sendiri telah mendaftarkan mereka melalui program pendemokrasian Kampung Sungai Pusu pada Julai lalu dan menggunakan alamat yang sama.
“Bagaimanapun, anak-anak warga pendatang di sini mempunyai kad pengenalan biru yang membolehkan mereka mendaftar sebagai pengundi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Penduduk yang ditemui, Muhammad Atnari berkata, pendudukmenyewa tanah berhampiran di sini kira-kira 10 tahun yang lalu dan tidak mempunyai alamat tetap.
Katanya, untuk memudahkan urusan surat-menyurat, maka, alamat Lot 4830 digunakan penduduk kampung sejak dulu lagi dan yang sudah berpindah pun masih menggunakan alamat itu.
Sementara itu, jurucakap Sekretariat Pendemokrasian Rakyat berkata, kemusykilan mula timbul apabila terdapat 15 nama pengundi pada alamat yang sama dari semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, sekretariat berasa ragu sama ada nama ini wujud pada alamat tersebut dan pengundi terbabit layak untuk mengundi.
“Pada Mei 2012, sekretariat telah membuat siasatan berhubung kes ini di atas keraguan tersebut dan bukannya menuduh SPR menipu dalam isu ini,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat 18 orang pengundi berdaftar di Lot 4830, Kampung Sungai Pusu.
Dakwaan tersebut dinafikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz apabila berkata, pengundi tersebut adalah penduduk dari 32 keluarga di kawasan berkenaan yang menggunakan alamat yang sama.
Sumber : Sinar Harian.
Ahad, 23 September 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan