Ads 468x60px

Ahad, 17 Jun 2012

Euro 2012: Rep Czech dan Greece terus lakar kejutan

ANALISIS - Siapa sangka Greece yang sebelum ini bagai 'telur di hujung tanduk' dengan prestasi yang kurang menonjol, melakukan satu keajaiban luar biasa dan kejutan apabila melangkah kaki ke suku akhir Euro 2012.

Juara Euro 2004, Greece yang mempamerkan aksi tidak memberangsangkan pada perlawanan pertama  yang hanya mengutip satu mata setelah seri dengan Poland membuktikan mereka mampu bangkit meskipun berdepan dengan situasi 'hidup mati'setelah ketinggalan tiga mata di belakang.

Berlandaskan nasib yang membantu, Greece menewaskan Rusia 1-0 pertemuan terakhir Kumpulan A awal pagi tadi. Ia juga akhirnya berjaya menutup segelintir pengkritik yang selama ini menganggap mereka kurang menyerlah.

Sebaliknya, Rusia yang menguasai babak awal perlawanan dengan peluang terbuka luas untuk menjaringkan gol, gagal dilaksanakan dengan baik.

Ekoran kerapuhan benteng pertahanan Rusia akhirnya membawa padah apabila Greece mengutip tiga mata sekali gus menghantar pasukan itu pulang awal daripada meneruskan saingan Euro 2012.

Sementara itu, Republik Czech menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan suku akhir setelah menewaskan pasukan tuan rumah, Poland 1-0 sekali gus meranapkan impian penganjur bersama, untuk mara ke suku akhir.
Petr Jiracek menjadi wira Czech selepas meledak gol untuk menyingkirkan Poland. 

Jurulatihnya, Michal Bilek juga gembira dengan kemenangan itu. Beliau menyifatkan mereka telah belajar dari kesilapan selepas kekalahan memalukan dengan Rusia.

"Ya, saya amat gembira dengan kemenangan ini dan berjaya belajar dari kesilapan ketika tewas tempoh hari.

"Tetapi anak-anak buah saya telah menunjukkan karakter dan saya fikir kami berhak untuk ke pusingan seterusnya," katanya.

Republik Czech yang menerima kejutan selepas dibelasah Rusia 4-1 tidak mematahkan semangat anak-anak buah Michal Bilek untuk bangkit apabila berjaya mencipta kemenangan penting pada pertemuan terakhir.

Bagi jurulatih Greece, Fernando Santos, beliau memuji kesungguhan anak didiknya apabila berjaya melakar kemenangan penting sekali gus memberi kegembiraan kepada negara mereka yang kini berdepan dengan krisis kewangan dan politik.

"Kami memberikan kemenangan ini kepada semua orang Yunani, tanpa mereka kami tidak akan berjaya kerana merekalah inspirasi kami untuk mencipta kemenangan.

"Jadi, kami gembira. Dengan kebangkitan ini, rakyat Greece bangga dengan pencapaian kami, dan kami akan terus berusaha untuk merampas kembali trofi tersebut," kata Santos.

Tambah Santos, kunci kejayaan mereka sehingga mampu mencipta kejutan setelah gagal dalam dua perlawanan sebelum ini adalah fokus dan tidak berputus ada meskipun dikritik hebat.

"Fokus dan melakukan apa yang dirancang terhadap sesuatu perlawanan, adalah kunci kejayaan kami berada di tahap ini.

"Pemain melakukan apa yang disuruh dan kami memperolehi keputusan yang hebat," katanya lagi yang akan memberi tumpuan kepada perlawanan suku akhir agar mereka akan terus kekal dengan rentak kecemerlangan ini.

Sementara itu, jurulatih Rusia, Dick Advocaat yang kecewa setelah anak didiknya gagal manfaatkan peluang yang ada, menyalahkan benteng pertahanan yang rapuh mneyebabkan Greece berjaya menyumbat gol awal.

"Kami terpaksa menelan kepahitan dengan kekalahan ini. Saya akui sangat kecewa apabila benteng pertahanan sangat longgar.

"Pemain tidak mengawal dengan ketat. Kesilapan itu akhirnya membuatkan kami tersingkir awal walaupun selesa di depan sebelum ini.

"Mungkin pemain terlalu yakin dengan kedudukan sebelum ini sehingga melepaskan peluang yang ada, dan kekalahan ini menjadi titik hitam buat kami," kata Advocaat yang akur akan mengucapkan selamat tinggal lebih awal dalam Euro kali ini.

Sementara itu, perjuangan tuan rumah bersama Poland sudah berakhir selepas tewas kepada Czech. 


Mereka tersungkur di bumi sendiri.

Pada perlawanan pertama, mereka mencatat keputusan seri 1-1 menentang Greece dengan kontroversi layangan dua kad merah. Pada perlawanan kedua, mereka mencatatkan keputusan sama menentang Rusia.

Menjelang perlawanan itu, mereka dicemari dengan insiden pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan.

Pergaduhan Russia dan Poland dilaporkan tercetus berikutan konflik kedua-dua negara dan penjajahan Soviet ke atas Poland ketika Perang Dunia Kedua yang kebetulan ketika itu hari kebangsaan di Rusia.

Jika mereka menang menentang Czech pagi tadi, mereka sudah boleh melayakkan diri ke suku akhir bersama Greece yang membuat kejutan menewaskan Rusia. Namun, tuah tidak menyebelahi mereka.

Di samping kekecewaan itu, jurulatih Poland, Franciszek Smuda telah mengucapkan 'selamat tinggal' kepada anak-anak buahnya berikutan kontrak beliau yang akan tamat selepas Euro 2012 ini.

"Saya tidak perlu meletakkan jawatan kerana saya mempunyai kontrak sehingga akhir kejohanan ini dan saya tidak nampak sebarang sebab untuk berhenti," jelasnya.

"Kami terpaksa menelan kepahitan ini. Kami terlalu yakin untuk menang dengan Czech. Kami mahu membuat serangan balas, tetapi benteng Czech sangat mantap, mereka bermain dengan baik dan mereka layak," katanya.

Pada saingan suku akhir nanti, Republik Czech akan menentang naib juara Kumpulan B manakala Greece akan berhadapan dengan juara Kumpulan B.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk