Ads 468x60px

Jumaat, 22 Jun 2012

Guru menang Cabaran Berliku 2



Pembaca setia BH sejak di bangku sekolah anggap hadiah rezeki Ramadan

JASIN: Seorang guru dari Bemban, dekat sini, tidak menyangka terpilih sebagai pemenang mingguan peraduan Cabaran Laluan Berliku 2 Berita Harian minggu kedua, sekali gus memenangi RM2,000.
Faizal Khamsir, 32, pendidik di Sekolah Kebangsaan Ledang, Tangkak, Johor, yang juga pembaca setia Berita Harian sejak bangku sekolah menyifatkan kejayaan itu sebagai rezeki Ramadan yang bakal tiba.
“Tentulah terperanjat kerana memang tak pernah fikir boleh menang. Sudah tentu ramai hantar borang peraduan setiap minggu, tapi bila diberitahu petang tadi (semalam) beberapa kali, barulah saya percaya. Berulang kali saya mengucap Alhamdulillah... tak sangka langsung menang,” katanya.

Beliau yang ditemui di kediamannya di Taman Bemban Height, Bemban, dekat sini semalam, berkata penyertaannya dalam peraduan itu mulanya sekadar suka-suka selepas melihat ia disiarkan hampir setiap hari dalam Berita Harian sejak 28 Mei lalu, tetapi kemudian berubah menjadi serius sehingga kini.

Faizal yang berkongsi berita gembira itu dengan isterinya, Fakhriyah Mad Salim, 32, guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jasin serta dua anak mereka, Faris Sofea, 5 dan Fatimah Azzahra, 2, berharap tuahnya berterusan untuk memenangi PROTON Saga FLX 1.3M yang ditawarkan sebagai hadiah utama.

Di KUALA LUMPUR, sepuluh pemenang mingguan Peraduan Cabaran Laluan Berliku Berita Harian, menerima hadiah sagu hati masing-masing berjumlah RM500 setiap seorang, semalam. 
Cabutan pemenang minggu kedua disempurnakan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali pada majlis di Balai Berita yang turut dihadiri Pengarang Eksekutif (Berita) Berita Harian, Norhayati Md Said dan Pengarang Eksekutif (Rencana) Berita Harian, Zainor Said.

Sementara itu, seorang pemenang cabutan minggu pertama, Kamal Laceres, 31, berkata sebagai pembaca setia akhbar ini, beliau sanggup mengeluarkan kos menyertai peraduan itu dengan membeli kira-kira 12 naskhah Berita Harian setiap hari. 

Peraduan berlangsung selama empat minggu bermula 28 Mei sehingga 24 Jun ini menawarkan hadiah sagu hati mingguan RM500 dan RM2,000 kepada pemenang utama mingguan, manakala hadiah utama keseluruhan adalah sebuah kereta Proton Saga FLX 1.3 (M) standard.

INFO

SENARAI PEMENANG MINGGU KEDUA


  • Khamarul Nizam Ahmad, Alor Setar, Kedah
  • Arsad Abdul Rahman, Chenor, Perak
  • Nur Amirah Md Sha’adun, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
  • Wan Rosli Wan Ismail, Kuantan, Pahang
  • Syed Muhammad Mukhalis Syed Azizan, Changlun, Kedah
  • Hamidah Ahmad Fikri, Shah Alam, Selangor
  • Radziah Saad, Seremban, Negeri Sembilan
  • Fazalina Mohd Yusof, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
  • Fozi Mat Kassim, Batu Pahat, Johor
  • Siti Zubaidah Abu Bakar, Langkawi, Kedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk