Ads 468x60px

Jumaat, 15 Jun 2012

MB: Kes seleweng disiasat

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri akan melakukan siasatan audit terhadap dakwaan salah guna baucar Jom Shopping oleh Ahli Jawatankuasa PKR Kapar.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun jumlahnya sedikit tetapi siasatan tetap dijalankan kerana Kerajaan Negeri mengutamakan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Menurutnya, mekanisme penyelarasan baucar Jom Shopping adalah sistematik dan telus bagi memastikan penipuan atau salah guna dapat dikurangkan ke tahap minimum.
“Peratusannya amat sedikit dan boleh dibanteras dengan cepat. Kita telah peruntuk- kan RM10 juta untuk Jom Shopping dan RM8 juta telah dibelanja.
“Dari jumlah tersebut hanya sekitar RM6,000 sahaja yang diragui perbelanjaannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Aduan Rakyat sempena Jelajah Terima Kasih Rakyat daerah Klang, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution bahawa parti akan hantar surat tunjuk sebab kepada ahli parti yang dikatakan terlibat dengan salah guna baucar Jom Shopping.
Menurutnya, sistem pemberian baucar sedia ada, mampu memperincikan setiap maklumat penerima dan lokasi mereka dan langkah ini dibuat bagi memastikan setiap wang yang  dibelanjakan sampai kepada rakyat.
Program Jom Shopping diperkenal tahun lalu dengan memberikan baucar percuma RM100 kepada warga emas untuk membeli barang keperluan.
Menerusi program ini, wakil rakyat atau penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) akan membawa warga emas yang berdaftar di bawah Skim Mesra Warga Emas, membeli-belah di pasar raya terpilih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk