KUALA LUMPUR – Golongan artis diberi jaminan bahawa kes-kes pertikaian yang difailkan kepada Tribunal Hak Cipta akan mendapat perbicaraan yang adil, mudah dan cepat demi menjaga kebajikan mereka.
Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Mohd. Shahar Osman berkata, golongan artis sepatutnya mengambil kesempatan daripada kewujudan tribunal itu untuk mengemukakan kes mereka tanpa perlu ke mahkamah.
“Objektif utama tribunal ini ialah menjadi saluran alternatif yang lebih mudah, murah dan cepat kepada penggiat seni untuk memperjuangkan hak berkaitan isu hak cipta.
“Sebelum ini, pindaan terhadap Akta Hak Cipta 1987 telah memperkemas dan memperluas kuasa sedia ada tribunal untuk melindungi hak artis dalam isu bayaran serta kontrak perkhidmatan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan harapan beberapa orang artis seperti Jay Jay, Atilia dan Mila AF agar Tribunal Hak Cipta dapat membela nasib golongan seperti mereka.
Tribunal tersebut pada mulanya ditubuhkan pada 12 September 2000 tetapi dibubarkan pada 2003 selepas tidak mendapat sambutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan