Ads 468x60px

Jumaat, 5 Oktober 2012

Sumbangan kelengkapan haji musnah dalam kebakaran


Petaling Jaya: Pelbagai kelengkapan jemaah haji yang disumbangkan orang ramai dan korporat musnah apabila kabin kontena tempat simpanannya terbakar di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, semalam. 

Antara kelengkapan itu termasuk beg selempang, beg beroda dan tag bagasi yang belum diagihkan kepada jemaah. 

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, kontena seluas 48 meter persegi di luar bangunan kompleks itu disedari terbakar oleh orang ramai yang terlihat kepulan asap sebelum menghubungi bomba. 

Litar pintas punca kebakaran 

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul, ketika dihubungi, berkata kebakaran dipercayai berpunca dari litar pintas panel elektrik di kabin terbabit namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar. 

“Bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan kebakaran itu pada jam 11.48 pagi dan tiba ke lokasi kejadian lima minit kemudian. 

“Dua jentera dari Balai Bomba Seksyen 7 Petaling Jaya dan Balai Bomba Damansara dengan 13 pegawai dan anggota bomba kemudian berjaya mengawal kebakaran serta memadamkannya kira-kira dalam tempoh 30 minit,” katanya di sini, semalam. 
Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa 

Beliau berkata tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan nilai kerugian belum dapat ditaksirkan. 

Difahamkan, ketika kejadian tiada jemaah yang melaporkan diri dan kebakaran itu tidak menjejaskan operasi haji di stesen berlepas kompleks berkenaan.


Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk