Ads 468x60px

Rabu, 28 November 2012

Perancis, Britain sokong

PARIS 28 Nov. - Perancis dan Britain semalam melahirkan sokongan berhubung cadangan Palestin bagi memperkuatkan status negara itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada undian Perhimpunan Agung yang akan diadakan minggu ini.
Tindakan Palestin itu merupakan satu langkah bersejarah dalam usaha mereka mendapat pengiktirafan yang lebih baik di peringkat antarabangsa.
Sokongan Perancis itu mengundang pertikaian umum dengan sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat (AS), namun Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius berkata, Paris mempunyai pendirian yang konsisten dalam menyatakan sokongan kepada pengiktirafan negara Palestin.
Beliau memberitahu di Perhimpunan Kebangsaan bahawa Perancis, satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, akan mengundi untuk status 'negara pemantau bukan anggota' kepada Palestin.
Perancis merupakan kuasa Eropah pertama menyuarakan sokongannya terhadap tindakan Palestin untuk meningkatkan status pemantau tetap ketika ini.
Sementara itu, Britain melalui Menteri Luar, William Hague berkata, pihaknya menyokong cadangan Palestin itu tetapi mengenakan syarat bahawa Palestin tidak boleh membawa Israel ke Mahkamah Antarabangsa.
Cadangan itu dirangka Palestin bagi mendapatkan sokongan memandangkan mereka memiliki sokongan majoriti daripada 193 anggota PBB.
Status tersebut membolehkan Palestin menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan juga agensi-agensi PBB. Palestin bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang di mahkamah The Hague untuk mencabar pendudukan Israel di Tebing Barat.
"Kami akan menyokong dengan jelas dan padu. Anda tahu bahawa dari tahun ke tahun pendirian konsisten Perancis terhadap Palestin merupakan pengiktirafan buat mereka," kata Fabius sambil mengingatkan bahawa bekas Presiden Perancis, Francois Mitterrand pernah mengisytiharkan mengenai pendirian itu pada ucapannya di Parlimen Israel pada 1982.
Beliau berkata, pendirian itu tidak berubah termasuk ketika Perancis dipimpin oleh Presiden Nicolas Sarkozy apabila Palestin diterima dalam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tahun lalu dan ia merupakan sebahagian kempen yang dijalankan Presiden Perancis ketika ini, Francois Hollande.
Sementara itu di Canberra, Australia pula tidak mahu menyokong Palestin bagi mendapatkan pengiktirafan PBB.
Perdana Menteri Australia, Julia Gillard berkata, pendirian kerajaannya untuk perkara itu berdasarkan pertimbangan yang merasakan penyelesaian terbaik bagi konflik tersebut adalah melalui rundingan terus antara Palestin dan Israel. - Agensi


Sumber : Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk