Ads 468x60px

Sabtu, 15 Mac 2014

6 hilang nyawa

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan enam orang iaitu tiga lelaki dan tiga wanita maut kerana mengambil dadah melebihi dos, sementara tiga lagi menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, ketika kejadian, semua mangsa yang berusia 19 hingga 27 tahun menghadiri satu konsert di Stadium Bukit Jalil, di sini.
Mereka dipercayai membeli dadah jenis syabu dari luar sebelum menggunakannya untuk berhibur di dalam stadium.

Menurutnya, enam mangsa yang mati adalah warga tempatan, sementara tiga warga tempatan dan seorang Singapura yang dalam keadaan kritikal masih dirawat.

“Hasil bedah siasat mendapati mereka terlebih pengambilan dadah dan suhu badan terlalu panas.
“Selain itu, sepanjang konsert yang berlangsung sejak Khamis lalu, seramai 19 orang ditahan kerana kesalahan mengambil dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Mohmad berkata, tangkapan dijalankan anggota Bahagian Narkotik IPD Cheras itu turut merampas tiga pil Ecstacy, 20 pil khayal berwarna putih dan ganja seberat 3.7 gram. 

“Siasatan juga mendapati mereka membeli bekalan dadah dengan harga sebiji antara RM60 hingga RM100.

“Bagi mengelak perkara lebih serius, kita mengambil keputusan membatalkan konsert terakhir pada malam ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Kontinjen Selangor untuk mengenal pasti sindiket yang membekalkan dadah kepada semua mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk