Jadi, tidak hairan pagi semalam peminat sudah beratur seawal jam 7 pagi di perkarangan stadium untuk mendapatkan tiket sedangkan kaunter hanya dibuka jam 10 pagi.
Tetapi apa yang menghairankan mereka terdapat beberapa individu yang disyaki ulat tiket mengambil kesempatan berkeliaran menjual tiket perlawanan itu dengan harga RM20 berbanding RM10 kepada orang ramai.
Tetap beli
Penyokong Terengganu, Shamsol Jusoh, 35, berkata, dia membeli tiket dengan harga RM20 daripada ulat tiket sebaik dimaklumkan tiket sudah habis dijual.
“Saya mula beratur seawal jam 8.30 pagi sebelum dimaklumkan tiket habis dijual dan ketika itu, ada individu menawarkan tiket perlawanan dengan harga RM20.
“Walaupun harga itu tinggi tetapi saya tetap membelinya kerana tidak mahu ketinggalan memberi sokongan kepada pasukan Terengganu,” katanya.
Seorang penyokong, Zulkhairi Ramlee, 22, melahirkan rasa kecewa kerana gagal mendapatkan tiket apabila dimaklumkan tiket sudah habis dijual.
“Tidak adil jika seseorang dibenarkan membeli tiket dalam kuantiti yang banyak sedangkan ramai lagi yang sedang beratur di belakang. Siapa yang tidak kecewa selepas beratur berjam-jam tetapi dimaklumkan tiket sudah habis.
“Selain itu, tiada pengawasan di kaunter oleh pihak berkaitan apabila peminat mula menyerbu sebaik kaunter dibuka sehingga menimbulkan kekecohan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman, berkata pihaknya menjual sebanyak 2,000 keping tiket semalam, manakala selebihnya akan dijual pagi ini.
Katanya, pihaknya hanya memperuntukkan 7,000 tiket untuk tempat duduk terbuka dan secara keseluruhan kapasiti stadium itu mampu memuatkan 10,000 penyokong.
“Bagaimanapun, kami mendapat arahan daripada pihak keselamatan (polis) supaya mengehadkan penjualan tiket atas faktor keselamatan bagi mengelakkan sebarang kekecohan berlaku.
“Saya sedar peminat tidak berpuas hati apabila tidak dapat memperoleh tiket selain membeli dengan harga yang mahal. Namun, kehadiran ulat tiket ini memang di luar kawalan kami (persatuan),” katanya.
SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan