MANCHESTER, United Kingdom - Kapten Liverpool, Steven Gerrard menganggap skuad The Reds sebagai pencabar utama gelaran juara Liga Perdana England musim ini.
Gerrard menyuarakan keyakinan itu selepas meledakkan dua gol menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Manchester United 3-0 di Old Trafford kelmarin.
Pemain tengah England itu menyumbat gol pertama pada minit ke-34 selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kerana bola terkena tangan Rafael da Silva sebelum menambah gol kedua pada minit ke-46 setelah kesalahan Phil Jones ke atas Joe Allen di hadapan pintu gol United.
Bagaimanapun, Gerrard melepaskan peluang untuk meledakkan hatrik selepas sepakan penalti ketiga yang diambilnya sekadar terkena palang gol selepas Nemanja Vidic dilayangkan kad kuning kerana mengasari Daniel Sturridge.
Gol ketiga Liverpool hadir menerusi Luis Suarez pada minit ke-84.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool di tangga kedua selepas hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Chelsea yang mengumpul 66 mata.
Meskipun pengurus Liverpool, Brendan Rodgers enggan meletakkan keyakinan yang tinggi ke atas skuad The Reds, Gerrard yakin mereka mampu menjulang trofi liga musim ini.
"Kami yakin bahawa kami mampu memenangi gelaran juara liga, namun perkara yang mudah dalam bola sepak ialah bercakap.
"Liverpool hanya perlu melayan pasukan- pasukan seterusnya, Cardiff City dan Sunderland seperti mana kami menentang United hari ini.
"Mungkin saya sedikit berlagak ketika mengambil sepakan penalti terakhir tetapi menjaringkan dua gol merupakan perkara yang sangat penting," kata Gerrard. - AFP
SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan