Ads 468x60px

Sabtu, 15 Mac 2014

Pahang didenda RM30,000


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terus menjadi penyumbang kantung kewangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila dikenakan denda keseluruhan RM30,000 selepas didapati bersalah kerana gagal memastikan keselamatan penyokong dalam dua aksi perlawanan di Stadium Darul Makmur sebelum ini.

Dua perlawanan tersebut ialah pada aksi Piala Sumbangsih menentang Lions XII, 17 Januari dan saingan Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) 7 Februari lalu.

Hukuman denda itu diumumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM di sini, semalam.

Ednan berkata, isu keselamatan penyokong dan pemain sememangnya dipandang serius bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Dalam kes yang berlaku ketika aksi Pahang menentang Lions XII, terdapat tiga pertuduhan dibuat ke atas tuan rumah iaitu pembakaran flare, faktor keselamatan dan melepaskan bahan letupan di dalam padang di mana setiap pertuduhan dikenakan RM5,000. Begitu juga dengan perlawanan menentang JDT menjadikan secara keseluruhannya enam pertuduhan.

“Mengambil kira pandangan dan pengakuan bersalah dari Pahang, FAM memutuskan hukuman denda RM30,000 dikenakan kepada mereka termasuk amaran keras kerana gagal mengawal keselamatan yang mendorong kepada kejadian pembakaran flare serta bahan letupan dilepaskan di dalam stadium.

“FAM memandang serius kejadian seumpama ini kerana ia melibatkan faktor keselamatan pemain serta penyokong," katanya.

Selain PBNP, FAM turut mengenakan denda kepada empat lagi persatuan negeri yang lain berhubung kesalahan yang sama iaitu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Persatuan Bola sepak Negeri Terengganu (PBSNT), dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Pengerusinya, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, FAS dikenakan denda RM15,000 setelah didapati bersalah dalam tiga pertuduhan iaitu pembakaran flare, tindakan penyokong yang menceroboh masuk padang ketika perlawanan berlangsung dan faktor keselamatan pada saingan Liga Super menentang T-Team dalam saingan Liga Super 18 Januari lepas.

Jelasnya lagi, Pafa pula dikenakan RM20,000 atas empat pertuduhan pada pertemuan menentang Terengganu 25 Januari lepas dan PBSNT dikenakan RM 10,000 atas dua pertuduhan dalam aksi pertemuan T-Team dan JDT pada 25 Februari.

"Rata-rata kesalahan dilakukan penyokong dalam setiap persatuan adalah sama iaitu berhubung faktor keselamatan. Memandangkan ini permulaan musim, kami menggunakan budi bicara dengan hanya mengenakan denda RM5,000 setiap pertuduhan dikeluarkan termasuk memberikan amaran keras agar tidak mengulangi perkara sama," ujarnya.

Bagaimanapun Taufek menjelaskan, keputusan mengenai perlawanan Sarawak menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super pada 18 Februari lalu terpaksa ditangguhkan setelah persatuan itu tidak mengaku bersalah di atas dua pertuduhan yang dikeluarkan.

"Berdasarkan peruntukan dalam Perkara 36.3 Kod Tatatertib, sekiranya ada persatuan tidak mengaku bersalah maka kami perlu mendapatkan lebih keterangan dari semua pihak.  Jadi kami buat keputusan menangguhkan kes ini ke tarikh yang lain," jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status insiden di Terowong Larkin, Taufek berkata, pihaknya akan  membincangkan kes tersebut selewat-lewatnya minggu depan.

Taufek memberitahu, kes tersebut masih memerlukan penelitian kerana ia melibatkan jumlah saksi yang begitu ramai.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk