Ads 468x60px

Memaparkan catatan dengan label PENDAPAT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PENDAPAT. Papar semua catatan

Selasa, 12 Jun 2012

Pisahkan sedikit dasar kerajaan dari dasar parti

KERAJAAN Pusat atau Negeri haruslah berusaha memisahkan sesuatu tindakan yang berbau politik kepartian yang dilaksanakan untuk rakyatnya. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini rasanya telah melakukan satu tindakan yang bercampur aduk dengan sentimen politik kepartian, ketika menahan pinjaman PTPTN kepada para pelajar Unisel kerana membantah dasar pihak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang telah menjalankan kempen politik untuk memansuhkan skim pinjaman PTPTN sekiranya berjaya menawan Putrajaya, dan Unisel adalah Universiti Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Hari ini nampaknya Kerajaan Negeri Selangor juga akan mengambil tindakan yang hampir serupa apabila seorang anggota Exco Kerajaan Selangor mengeluarkan pandangannya bahawa Kerajaan Selangor mungkin boleh membantu pelajar UiTM yang digantung pengajiannya selama tiga semester iaitu pelajarnya yang bernama Khalid Ismath, yang telah mengambil bahagian dalam satu aktiviti yang dikatakan melanggar undang-undang sedangkan tindakan pelajar tersebut pada pandangan kerajaan PR adalah sesuai dengan dasar Kerajaan PR yang mendokong aktiviti itu.

Bagaimanapun KPT telah membetulkan tindakannya iaitu bersetuju meneruskan pinjaman PTPTN kepada para pelajar Unisel dan tindakan ini saya rasa wajar kerana para pelajar itu adalah rakyat negara ini yang seharusnya diberikan layanan yang sama dengan para pelajar lain.

Oleh itu saya rasa amat tidak wajar Kerajaan Selangor atas nama Kerajaan juga mengambil tindakan untuk membela pelajar yang berkenaan, dan memberikan bantuan atas nama kerajaan kepada pelajar yang diambil tindakan disiplin oleh institusi tempat pengajiannya atas dasar yang termaklum sedangkan Kerajaan Selangor merasakan wajar membantunya kerana pelajar ini seolah-olah telah bertindak mengikut matlamat yang sama dengan tindakan yang didokong PR.

Saya pernah menulis dalam blog ini bahawa rakyat yang matang dan sedar akan kedudukannya sebagai rakyat, seharusnya tahu membezakan di antara dasar parti politik dan peranan kerajaan. Kerajaan menjalankan dasarnya yang adil kepada semua rakyat tanpa diskriminasi. Parti politik sememangnya akan bertindak untuk ahli-ahlinya sendiri, termasuk membela yang bersalah, yang tidak berdisiplin dan sebagainya.

Kalau seorang pelajar yang didapati bersalah oleh sebuah IPT kerana melanggar disiplin, maka tidak seharusnya sebuah kerajaan akan membelanya atas nama kerajaan tetapi mungkin boleh membelanya atas nama parti politik.

Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah tempoh hari yang mengambil tindakan ke atas para pelajar IPT Kerajaan Kedah iaitu Kolej Universiti Insaniah kerana para pelajar itu telah melanggar disiplin, malah MB bertegas mempertahankan disiplin dan peraturan IPT tersebut, bukan dasar parti pemerintah kerajaan Negeri.

Tindakan yang bercampur aduk seperti yang saya sebutkan di atas itulah yang nampaknya menjadi budaya pemikiran kita di negara ini sehinggakan seorang rakyat yang didapati bersalah oleh undang-undang negara, maka kita atas nama parti politik akan bermati-matian mengatakan dia tidak bersalah, pada hal yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang tetaplah bersalah, walau sebesar mana sekali pun pangkat dan kedudukannya kerana ia diadili atas nama peribadinya sebagai rakyat negara ini.

Oleh itu kita haruslah segera sedar akan keadaan yang sebenar dan menimbang sesuatu tindakan kita itu secara rasional dan objektif, bukan dengan pandangan yang sempit, taksub dan radikal.

Saya rasa tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat dengan pemberian wang Bantuan Rakyat 1M kepada rakyat dan pelajar merupakan satu tindakan Perdana Menteri yang tidak mengira ideologi politik penerimanya. Demikian juga bantuan lain kepada sekolah, tempat ibadah dan sebagainya, semuanya dilakukan tanpa mengira keturunan kaum dan agama, iaitu satu tindakan untuk rakyat semua. Namun begitu hal ini pun sering dipolitikkan oleh ramai pihak yang hanya memandang segala-galanya melalui kaca mata politik partisan, yang seharusnya tidak timbul sama sekali dalam masyarakat demokrasi berbilang kaum dan agama ini.

Oleh itu dalam kuat kuasa undang-undang dan peraturan IPT umpamanya, kita haruslah rasional dalam tindakan kita, bezakan diantara politik kepartian dan kedudukan seseorang itu dari segi undang-undang negara dan peraturan yang tertentu. Mahkamah mempunyai banyak peringkat, boleh rayu dan bawa ke peringkat penghakiman yang lebih tinggi, sekiranya bersalah juga pada akhirnya, maka bersalahlah, jangan pula menuduh sistem kehakiman begitu dan begini mengikut selera dan kehendak kita.

Bacalah juga entri saya tidak lama dulu dalam blog ini tentang amaran Rasulullah SAW bahawa baginda akan mengambil tindakan ke atas sesiapa saja yang bersalah dan menghukumnya, walau pun yang melakukan kesalahan itu ialah puteeri baginda sendiri!

Kita sering berbicara tentang agama dan ajarannya, tetapi kadang-kadang kita tidak memahami falsafahnya yang adil dan saksama. Kita lebih mementingkan politik fanatik dan berat sebelah, pendek akal budi.


* Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim

Khamis, 7 Jun 2012

Ali Rustam kekal di Melaka?


Datuk Seri Ali Rustam adalah antara tokoh pemimpin politik Malaysia yang tidak perlu diperkenalkan. Bukan sekadar beliau adalah Ketua Menteri (KM) Melaka, tetapi beliau beberapa kali membuat percubaan untuk melonjakkan diri dalam hierarki Umno. Anak kelahiran Semabuk ini memulakan hidup makan gaji selaku juruteknik Lembaga Lektrik Negara (kini Tenaga Nasional Berhad).

Kini beliau berjaya mentransformasikan Melaka yang dahulunya hanya dikunjungi untuk mengambil gambar di A Famosa kepada negeri pesat membangun dalam industri pelancongan, pengeluaran dan perubatan. Namun DAP dan sekutunya, sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi rakyat melihat Ali dengan pandangan dan sikap berbeza.

Dalam kiraan politik pembangkang, apa yang dilakukan Umno dan Barisan Nasional (BN) Melaka tidak mencukupi hatta sekiranya Ali dapat membangunkan Melaka lebih besar dan lebih canggih dari Kotaraya New York.

Dalam Pilihanraya Umum ke-11 (PRU11), Ali menang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Baru dengan majoriti 5,992 tetapi dalam pilihan raya berikut majoritinya merosot kepada 2,708. Ini merumuskan bahawa populariti Ali merosot. Justeru pembangkang mengunjurkan dalam PRU13, sama ada majoriti itu terus berkurangan atau lebih buruk, Ali mungkin kalah. Hakikatnya, dua pilihan raya umum tersebu bukanlah asas untuk menentukan pola dan trend pengundi.

Sementara DAP dan sekutunya bermati-matian psiko rakyat Melaka agar mengundi mereka ke Seri Negeri yang populariti mereka di seluruh negara sendiri merosot dan diburukkan lagi dengan ketidaksefahaman antara DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mereka hampir terlupa, dalam suasana terbaik seperti pada 2008 sekalipun, mereka masih gagal mengusir Ali dari kerusinya.

Ali agak unik. Saya sendiri berpeluang melihat keunikan ini dalam pelbagai bentuk tatkala menulis biografi beliau pada 2006. Ketika itu Ali sudah lapan tahun memimpin Melaka selaku KM bermula dari 3 Disember 1999. Saya berasakan buku biografi ini harus dibaca setiap rakyat Melaka mahupun di negara ini kerana Ali kini menjadi sebahagian dari sejarah Melaka.

Beliau mungkin mewakili generasi lama tapi pemikirannya kalaupun tidak setaraf Tun Dr Mahathir Mohamad pun, telah meletakan dirinya sebagai pemimpin masa hadapan. Justeru tidak mengejutkan apabila beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno. Mengikut satu kajian yang dibuat seorang profesor dari Universiti Malaya, Ali mendahului dua lagi calon Timbalan Presiden iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhamad Muhd Taib.

Sebelum pengundian bagi menentukan siapa bergelar Timbalan Presiden Umno, pencalonan Ali dibatalkan menurut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno apabila tiga agennya didakwa mengamalkan politik wang.

Walaupun ramai terkilan dengan keputusan Lembaga Disiplin Umno, namun mereka merasakan Ali akan kembali semula bertanding pada masa hadapan. Rata-rata merasakan Ali adalah satu-satunya pemimpin yang bukan sahaja perlu untuk negeri ini tetapi juga untuk politik nasional.

Sukar untuk menafikan beliau berfikiran dinamik. Setiap hari ada saja yang difikirkan bagi membawa Melaka menjadi sebuah negeri berbeza dengan segala macam kelainannya.

Dulu Melaka dikenali sebagai Melaka Bandaraya Bersejarah, kebelakangan ini pula, slogannya bertukar macam sebuah rangkap pantun berbunyi Melaka Maju Negeri ku sayang, Negeri Bandar berteknologi Hijau. Bunyinya mungkin boleh membuat kita tertawa, namun itulah Ali Rustam.

Orang boleh tertawa tapi bagi beliau, Melaka mendahului negeri lain dalam merancang dan merangsang teknologi hijau. Ali mempunyai wawasan dalam kerangka memajukan Melaka. Namun kepimpinan politik bukan sekadar mengenai seorang pemimpin yang berwawasan kerana boleh dilakukan sesiapa saja.

Yang lebih penting untuk merealisasikannya sehingga menjadi kenyataan adalah perkara lain. Bahkan mengikut cerita, Ali sudah merancang dan turun ke padang sejak hari pertama lagi menjadi KM Melaka.

Pada mulanya ada yang merasakan apa yang ditunjukkan Ali sebenarnya adalah perkara biasa bagi seseorang yang baru dilantik menjadi KM atau Menteri Besar (MB). Tetapi ia terbukti salah. Ini kerana, pada hari ini, setelah memegang jawatan itu selama hampir 12 tahun, Ali masih lagi seolah-olah berada pada hari pertama berkhidmat.

Barangkali mindanya yang tidak pernah tandus dengan idea dan perwatakannya yang terus bekerja, merancang serta melaksanakan pelbagai program dan projek tanpa mengenali erti penat.

Ini berpunca daripada kehidupannya zaman kanak-kanak yang melakukan pelbagai kerja – memotong kayu dan menoreh getah. Manakala, zaman remaja beliau pro-aktif dalam menghulurkan idea dan tenaga dalam pergerakan belia. Pada usia 63 tahun, Ali boleh memilih untuk bersara dan duduk goyang kaki di rumah tanpa perlu memikirkan lagi pentadbiran negeri Melaka atau Umno Negeri. Tapi, setakat ini, tidak ada tanda-tanda beliau akan berbuat demikian.

Ramai merasakan apa pun yang akan diperuntukkan kepadanya oleh pucuk pimpinan, Ali akan memberikan yang terbaik. Sebagaimana Ali bersiap sedia memikirkan pelbagai hal pada hari pertama pelantikan semula selaku KM, beliau juga memiliki idea apa yang harus difikirkan pada hari pertama menjadi seorang Menteri pusat. Namun, bukan sahaja lebih ramai membuat spekulasi beliau kekal memimpin Melaka, malah ramai yang mahukan sedemikian

Isnin, 4 Jun 2012

Pembangkang pencetus pembaharuan


Lazimnya pembangkang dipersalahkan pemerintah; serangan terhadap mereka dihebohkan ke seluruh negara oleh media arus perdana milik parti pemerintah.

Jentera kerajaan seperti polis, badan pencegah rasuah dan badan kehakiman, kadangkala dilihat sebagai alat dan ‘jabatan khas’ ibu pejabat parti pemerintah. Realiti ini didukung undang-undang lapuk yang disalahgunakan dalam menyekat kebebasan rakyat.

Jumlah undi popular yang diraih pemerintah Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) adalah 51 peratus, tetapi ia tetap mendapat 63 peratus jumlah kerusi di Dewan Rakyat. Ada penganalisis yang berkata  seandainya pilihan raya bersih dari dulu, sudah lama kerajaan bertukar.

Dengan menggunakan jentera kerajaan secara terbuka, kini ditambah pula dengan tindakan tertutup termasuk keganasan berbaur politik, budaya penyebaran fitnah dan serangan peribadi termasuk percubaan mencemar imej. Keberanian dan ketelusan media alternatif membuktikan komitmen untuk membuat liputan berita sebagai wartawan.

Walaupun mungkin dicaci, disekat dan dipukul, mereka berjuang demi mendapatkan berita yang benar. Ini selaras dengan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang berjuang kerana amanah rakyat.

Percubaan konsisten untuk mengaburi peranan Pakatan Rakyat (PR) yang taat kepada raja, negara dan Perlembagaan Persekutuan tidak melumpuhkan kepercayaan dan tanggungjawab terhadap rakyat. PR akan terus berdebat secara  aktif di parlimen, di peringkat akar umbi, dan seperti tsunami media alternatif akan terus berani kerana amanah dan kepercayaan yang diberi rakyat.

Tanpa pembangkang, tiada pembaharuan. Segala pembaharuan adalah hasil desakan, tekanan dan perjuangan pembangkang. Tanpa tekanan, BN yang memerintah 55 tahun tidak mungkin berubah.

Bersih 1 dan Hindraf selari dengan bangkitnya kesedaran rakyat yang kemudiannya menghasilkan Tsunami Politik 2008, yang memaksa perubahan dalam pentadbiran BN termasuklah lebih hak kepada Sabah dan Sarawak. Bersih 2.0  mencetuskan Reformasi Pilihanraya dan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) demi menambahbaikkan proses pilihan raya, namun transformasi ini jelas separuh jalan. Peluang emas untuk mendapatkan kepercayaan rakyat  dibuang begitu sahaja tatkala laporan minoriti PSC yang disediakan PR ditolak di Parlimen.

Agenda propaganda Transformasi Nasional seperti gagasan 1Malaysia, Transformasi Pentadbiran Awam (GTP) dan Transformasi Ekonomi  (ETP).Pengumuman demi pengumuman dibuat untuk membelanjakan  wang untuk perbaiki kedudukan ekonomi negara tetapi realitinya Malaysia mengalami kadar defisit yang kritikal dan hutang Kerajaan sebanyak RM456.1 bilion.

Transformasi yang dijanjikan Perdana Menteri malangnya bukan inisiatif yang baru, tetapi meniru dari Buku Jingga, seperti Dasar Gaji Minima dan BR1M. Skandal seperti National Feedlot Corporation dan  pemberian tender  Lebuhraya Kidex membuat rakyat lebih peka masalah negara.

Inimembuktikan kerajaan kini tidak kukuh apabila berdepan masalah yang disedari rakyat. Sejarah akan menunjukkan bagaimana pilihan raya dimanipulasikan dan siapa pemenang sebenar selama ini. Rakyat akan tahu jentera kerajaan disalahgunakan dan siapa menjual rahsia pertahanan - lalu mengkhianati - negara.

Kini wujud kehidupan dua darjat antara pembangkang dan pemerintah. Rakyat perlu sedar siapa yang sering menjadi sasaran fitnah, konspirasi, tangkapan, pendakwaan, pemenjaraan, disaman, dipukul malah ada dibunuh demi  memperjuangkan hak rakyat untuk menikmati janji merdeka dan demokrasi tulen.

Bagaimana pula mereka yang hidup mewah - rumah, kereta, perhiasan - dan terlepas daripada perbuatan rasuah, memukul pegawai keselamatan, pembelian kondo untuk lembu dan bebas dari kes pembunuhan serta penjualan rahsia  pertahanan negara?

Memang benar, mehnah dan tribulasi perjuangan menjadi iktibar kerana tanpa pembangkang tiada pembaharuan. Pembaharuan dan kemajuan! 

Ahad, 3 Jun 2012

Jalan ke Putrajaya tidak mustahil

TERAS merumuskan jalan untuk membawa perubahan di Putrajaya berliku tetapi tidak mustahil asalkan semua pencinta keadilan dan kebenaran bergabung tanpa sebarang niat lain melainkan untuk membangun masyarakat dan negara yang berasaskan keredhaan ALLAH.

Menjadi suatu keanehan jika seorang Muslim tidak beriman kepada ketetapan ALLAH bahawa ALLAH memberi kuasa kepada siapa yang Ia kehendakki dan merampas kuasa dari siapa yang Ia kehendaki.

Namun semua ketetapan juga akan menuntut kepada syarat hatta untuk memenangkan Agama ALLAH sekalipun.

Benar peringatan oleh Presiden Datuk Seri   Hadi Awang dalam amanatnya di Perhimpunan Hijau ke Putrajaya semalam.

Prasyarat utama adalah mengukuhkan hubungan dengan ALLAH.

Dengan penuh kesedaran bahawa segalanya akan ditentukan oleh ALLAH S.W.T. Bagi setiap pejuang AgamaNya yang mengguna medan politik berdasarkan sokongan rakyat, syarat hati yang ikhlas kepada ALLAH akan mampu memenangi hati rakyat yang mahukan kemenangan Islam.

Adapun persoalan strategi dan tektik, Teras berpandangan sememangnya pertolongan ALLAH memerlukan persiapan dan kesungguhan dalam perjuangan.

Inilah intisari dari tuntutan ALLAH agar kaum Muslimin mempersiapkan diri dengan kekuatan apa sahaja bila berhadapan dengan musuh.

Teras mengira bahawa hampir 100,000 orang dari seluruh pelusuk Negara yang membanjiri Pehimpunan Hijau Ke Putrajaya di Stadium Alor Star Kedah semalam adalah digerakkan oleh hati-hati yang jernih untuk matlamat memenangkan Islam.

Tidak ada upah dan elaun, tidak ada kemudahan kenderaaan, tidak ada saguhati, tidak ada kemudahan penginapan, tidak ada kerahan agensi kerajaan untuk memenuhi stadium itu.

Menggagahi hujan yang lebat pada petangnya, berhimpit-himpit di padang dan tangga stadium sehingga tidak ada ruang sedikitpun untuk bergerak, tekun dan sabar serta bersemangat untuk solat berjamaah bersama pemimpin mereka, tekun mendengar ucapan sejumlah pemimpin dan penyokong kebenaran, menumpu perhatian kepada doa Mursyidul Am mereka, semua ini adalah ciri ke arah menyiapkan syarat kemenangan yang perlu dikekal dan dijadikan gelombang.

Inilah perbezaan dengan mereka yang berhimpun dengan cara pacingan wang, kemudahan pengangkutan yang ditanggung semua, acara hiburan yang mengelorakan nafsu, elaun poket yang dibayar tunai, peruntukan wang kerajaan yang dibelanja tetapi berselindung di sebalik justifikasi program agensi kerajaan.

Perbezaan inilah yang menggerunkan pihak yang melihat PRU13 sebagai “ibu segala pilihan raya”.  

Kami berpendapat bahawa sementara sangat sukar untuk memperolehi kemenangan dalam kepungan sebuah sistem yang sudah dirangka sehingga tidak membenarkan ruang yang sama rata untuk berhujah dan bersaing dalam ruang demokrasi yang adil, namun tidak mustahil tsunami bakal berulang lagi.

Semangat dari kecintaaan kepada kebenaran Islam yang jitu walaupun dalam sekatan yang dianggap maha mencabar inilah yang akan menentukan kemenangan hakiki. Ia perkara kecil jika ALLAH sudah memutuskan bahawa bila kebenaran tiba, kebatilan pasti akan hancur.

Antara harapan dan yakin kepada ALLAH dan kerja keras inilah yang akan menjadikan perjuangan ini dirasai nikmatnya. Bagi mereka yang berpandangan dan beranggapan para pejuang Islam itu akan lelah dan kecewa sebenarnya akan jauh lebih kecewa kerana perjuangan Islam tidak pernah mati. Diperlaku sezalim mana sekalipun nafas perjuangan Islam tetap terus disambung.

Ikhwan Muslimin di Mesir sudah melalui babak yang jauh lebih pahit. Kini ruang terbuka dan dengan penuh istiqamah mereka meniti kemenangan sedikit demi sedikit dan selangkah demi selangkah.

Kami menyeru agar rakyat bersiap menempa zaman dan sejarah baru dengan gagah dan penuh bermaruah. Saatnya Putrajaya berada ditangan rakyat sudah tiba.

*Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras

Rabu, 30 Mei 2012

Anwar: Belanjawan 2012 perlu dibentang semula

PERTUMBUHAN ekonomi yang lembap iaitu pada kadar 4.7 peratus dalam 2012 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini memberikan kesan serius terhadap kewangan negara. Ini adalah kali kedua pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk mencapai sasaran penting ekonomi berdasarkan Belanjawan 2012. Bukan sahaja beliau gagal memenuhi sasaran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011, pentadbirannya juga tidak berjaya melepasi sasaran pertumbuhan pelaburan swasta pada takuk 14.4 peratus sahaja (berbanding sasaran 16.2 peratus).

Saya telah mengingatkan Najib bahawa kecenderongan beliau memanipulasi unjuran pertumbuhan ekonomi untuk mempamerkan angka defisit yang lebih rendah adalah tidak bertanggungjawab.

Ketika perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2011, saya juga telah menegaskan bahawa andaian ekonomi yang digunakan (iaitu pertumbuhan lima hingga 5.5 peratus dan lima hingga enam peratus untuk tahun 2011 dan 2012) adalah tidak tepat.

Kini terbukti bahawa andaian tersebut yang diguna pakai dalam perancangan Belanjawan 2012 bersifat tidak absah. Pengumuman Bank Negara Malaysia pada 21 Mac 2012 yang menyemak unjuran pertumbuhan ekonomi 2012 kepada emapt peratus hingga lima peratus sahaja menyetujui gesaan saya supaya Belanjawan 2012 dibentangkan semula.

Oleh itu, saya ulangi gesaan yang dibuat di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa Belanjawan 2012 seharusnya dibentangkan semula dan dibahaskan dalam Parlimen pada sesi bulan Jun ini memandangkan andaian pertumbuhan yang digunakan adalah salah. Jika Barisan Nasional berterusan membelanjakan wang negara berdasarkan belanjawan tersebut, ini akan memberikan kesan parah terhadap kadar defisit dan ianya boleh melangkaui had 55 peratus nisbah hutang negara berbanding KDNK.

Kenyataan mengelirukan oleh Najib bahawa Pakatan Rakyat tidak berhasrat untuk melaksanakan kebijakan ekonomi yang jelas setakat ini juga perlu disanggah. Beliau secara jelas telah mengelirukan khalayak rakyat tatkala menuduh Pakatan Rakyat menjanjikan gaji minima sebanyak RM4,000.

Pakatan Rakyat mencadangkan pendekatan tuntas untuk mengatasi kemerosotan ekonomi kesan ketidakcekapan tatakelola dan penyelewengan Barisan Nasional. Satu daripada penjajaran semula ekonomi yang dicadangkan adalah dengan mengubah dasar yang menumpukan kepada sasaran ekuiti 30% Bumiputera yang disalahguna oleh Barisan Nasional; kepada sasaran ekonomi berteraskan pendapatan minima RM4,000 sebulan untuk setiap isi rumah bagi setiap keluarga dalam tempoh lima tahun tempoh pentadbiran Pakatan Rakyat. Malang sekali apabila Perdana Menteri Malaysia tidak dapat membezakan di antara gaji minima yang dikuatkuasa melalui undang-undang buruh dan sasaran pendapatan isi rumah yang dicapai melalui kebijakan ekonomi.
Sasaran ekuiti 30 peratus Bumiputera telah dimanipulasi oleh kroni dan pihak berkepentingan untuk memperkayakan diri mereka sedang rakyat jelata terus sengsara. Jurang di antara kelompok kaya dan miskin semakin meluas dengan ketara akibat penyelewengan yang dilakukan kononnya atas keperluan mencapai sasaran 30 peratus ekuiti ini.

Pengurusan kekayaan negara secara lebih adil seharusnya ditumpukan untuk memastikan setiap keluarga menikmati mutu hidup yang baik. Pendapatan setiap keluarga mesti ditingkatkan sejajar dengan peningkatan kos kehidupan. Setiap keluarga mesti meraih pendapatan yang lebih tinggi dari garis kemiskinan supaya mampu membuat pelaburan untuk masa depan anak-anak mereka.

Justeru, sasaran ekonomi yang ditetapkan oleh Pakatan Rakyat agar jumlah pendapatan setiap keluarga di Malaysia sekurang-kurangnya mencecah RM4,000 sebulan bukan saja tepat secara moral, bahkan mampu untuk dicapai menerusi gabungan dasar ekonomi prorakyat yang dicadangkan.

Najib tidak sewajarnya mengkritik dasar-dasar ekonomi Pakatan Rakyat apabila beliau sendiri terus mengelak untuk berdebat secara terbuka tentang dasar-dasar tersebut. Jika beliau yakin bahawa Pakatan Rakyat tidak berkemampuan untuk melaksanakan tawaran-tawaran ekonomi tersebut, beliau seharusnya berani untuk mempertahankan pendirian  beliau itu dalam perdebatan terbuka.

Keengganan beliau untuk berdebat dengan saya berkaitan dasar-dasar ekonomi hanya mengesahkan dakwaan mutakhir ini bahawa beliau sememangnya memimpin sebuah kerajaan yang lemah - baik dari aspek ekonomi, moral dan juga intelektual.

Ahad, 27 Mei 2012

Bersih 3.0 bukan Arab Spring

Perhimpunan Bersih 3.0 telah sebulan berlalu. Tetapi, perbincangan tentangnya masih hangat, seolah-olah ia berlaku semalam. Saya tidak menyokong Bersih 3.0. Tetapi, saya tidak memandangnya dengan sebelah mata sahaja.

Saya juga tidak menyokong Bersih 2.0. Tetapi, saya bersetuju dengan banyak daripada tuntutannya. Kerana itu, saya amat teruja apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya (JPP) ditubuhkan.

Apalagi, kerana ia dibentuk secara bi-partisan antara Ahli Parlimen BN dan PR. Laporan JPP meluluskan 18 daripada 22 syor jawatankuasa.

Meskipun terkilan kerana ia tidak mempunyai peta jalan yang jelas tentang apa yang akan dilaksanakan secara segera, jangka sederhana dan jangka panjang, namun ia tetap merupakan satu dokumen yang perlu diterima baik.

Apabila Bersih 3.0 diumumkan sebaik sahaja laporan JPP diluluskan Dewan Rakyat, saya menyatakan bahawa penganjurnya terburu-buru. Sepatutnya, berilah peluang untuk laporan JPP itu mula dilaksanakan terlebih dahulu.

Namun, kehadiran Bersih 3.0 lebih besar daripada Bersih 2.0. Ia lebih multi-kaum. Belia, termasuk mahasiswa, begitu ramai. Lebih menarik ialah penyertaan golongan kelas menengah.

Dalam konteks ini, penyelidikan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) tentang PRU13 adalah relevan.

Menurutnya, 49 peratus pengundi telah membuat keputusan akan mengundi BN, 21 peratus akan mengundi PR, manakala 30 peratus belum membuat keputusan (atas pagar).

Sebahagian daripada pengundi atas pagar ialah belia/mahasiswa dan kelas menengah. Ada dalam kalangan mereka menyertai Bersih 3.0. Penyelidikan itu dibuat sebelum itu. Bagaimanakah kedudukannya kini?

Kita perlu sedaya upaya mempunyai pandangan yang benar dan adil terhadap Bersih 3.0. Oleh itu, wajar meneliti pelbagai video, tulisan, maklum balas dan post mortem daripada pelbagai sumber, termasuk daripada pihak yang tidak sealiran dengan kita.

Terdapat ramai yang menyertainya kerana objektif yang tiada kaitan dengan manamana parti politik. Objektif mereka pelbagai. Tidak terhad hanya kepada soal sistem pilihan raya sahaja. Ada objektif lain, seperti PTPTN dan Lynas.

Ada beza antara majoriti menyertainya secara aman dengan segelintir yang menimbulkan insiden tidak diingini. Ada beza antara majoriti anggota polis yang menjalankan tugas dengan profesional dengan segelintir yang berlaku aneh, misalnya, terhadap orang media.

Saya mengalu-alukan resolusi Mesyuarat Agung Luar Biasa Majlis Peguam Malaysia. Begitu juga langkah Suhakam untuk mengadakan pendengaran awam.

Saya tidak bersetuju kalau Bersih 3.0 dituduh sebagai dipengaruhi komunis atau ingin menjatuhkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan.

Jauh sekali kalau ia dianggap seakan-akan Arab Spring. Ini kerana faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya Arab Spring tidak wujud di sini.

Kalaupun ada yang hendak dibandingkan, maka, ia mungkin berupa sedikit elemen anti-Marcos atau, yang terdekat, anti-Suharto. Tetapi, pokoknya bukan Arab Spring.

Pada masa sama, Datuk Ambiga Pengerusi Bersih amat kecil jika dibandingkan dengan Aung Sang Suu kyi. Tetapi, kalau langkah mengurung Aung Sang Suu Kyi di dalam rumah menjadikannya idola antarabangsa, maka, saya waspada melihat langkah mengepung rumah Ambiga dengan aktivitiaktiviti tertentu itu.

Bersih 3.0 bukan Arab Spring. Bukan juga anti-Marcos atau anti- Suharto atau pro-Aung San Suu Kyi. Tetapi, ini tidak bermakna kita boleh memperlakukannya sesuka hati. Sebaliknya, kita perlu berhatihati. Kerana kita tidak mahu ada pihak yang menyimpan di dalam hati.

PRU13: Pengaruh hujah debat KJ-Rafizi



DEBAT Pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) Dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi’ di antara Rafizi Ramli (RR)-Khairy Jamaluddin (KJ) berjaya dianjurkan di Kompleks Media Karangkraf dan dipancarkan oleh Astro Awani dan Bernama 24 secara langsung pada malam bersejarah 22 Mei lalu.

Sekali gus ia menandakan bahawa ‘Politik Baru’ di negara ini akan terus subur dan tidak lagi mampu dibendung oleh kuasa pemerintah. Sifat utama Politik Baru yang memberi capaian maklumat kepada pengundi terus memerdekakan mereka untuk berani membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Justeru, persoalan siapa menang atau kalah dalam perdebatan itu bukan tujuan utamanya. Sebaliknya, matlamat pencerahan minda penonton dengan penyajian maklumat secara debat sangat diminati. Sorakan atau tepukan juga mungkin sahaja menandakan persetujuan tetapi belum tentu bersabitan langsung dengan tajuk perdebatan. Ledakan emosi penyokong tegar ketika sesuatu diucap ‘menjatuhkan lawan’ tidak semestinya mematahkan hujah lawan.

Mungkin sahaja ia menangkis hujah lawan tetapi ternyata kemudiannya ia tidak benar sama sekali. Kerapkali juga penonton teruja dengan nada dan gaya kedua-dua pendebat meskipun ia bukanlah ukuran sebenar kemantapan penghujahan mereka. Kesemua gelagat dan pemerhatian ini berlaku dalam perdebatan malam tersebut.

Apa pun syabas kepada kedua pendebat muda ini yang nyata sama hebat, sama petah dan sama pintar. Keberanian mereka telah merintis pelbagai ‘wajah mendatang’ dalam politik negara. Debat yang didakwa sesetengah pimpinan politik kerajaan BN bukan sebagai budaya kita telah pun ditelan dek debat perintis ini. Sekali gus juga kelompok politikus ‘senior’ dari kedua belah semakin gusar. Paling tertekan tentunya ialah Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

Pun begitu, secara lebih serius, mampukah Debat Pemansuhan PTPTN malam tersebut menjadi kayu ukur, yang dengannya penonton (dibaca pengundi) membuat keputusan untuk menyebelahi samada Barisan Nasional (BN) yang diwakili KJ atau menyokong Pakatan Rakyat yang cita-citanya diwakili RR?

Lebih sukar lagi, mampukah penonton membuat keputusan sama ada untuk menyokong BN atau sebaliknya PR dalam PRU ke-13 nanti, atas kejelasan mereka tentang aspek kedua tajuk Debat yakni: Hala Tuju Pendidikan Tinggi?

Setelah usai tepok-sorak dan gegak gempita suasana yang menggamat Dewan malam itu, Jemaah Hakim yang berkebetulan adalah seluruh rakyat-pengundi yang menonton, kini terpaksa membuat keputusan. Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara adalah antara isu-isu teras dalam PRU13.

Nah, kalau umum telah pun membuat pelbagai penilaian positif atau sebaliknya, penulis ini juga turut mahu nyatakan komentarnya. Sebelum itu penulis ingin tegaskan bahawa debat ‘Pemansuhan PTPTN’ mudah difahami oleh semua sebagai juga berjodol “Pendidikan Percuma”. Dengan kata lain, mudahnya PR sokong usul debat yakni untuk memberikan “Pendidikan Percuma” sementara BN tolak “Pendidikan Percuma” di peringkat IPT.

Tugasan RR adalah untuk yakinkan penonton-rakyat supaya menyokong Pemansuhan PTPTN lantas mewujudkan Pendidikan Percuma. Tugasan KJ adalah sebaliknya. RR perlu yakinkan rakyat ia mampu dilakukan, sementara KJ mesti ‘menghasut’ rakyat ia tidak wajar dilakukan. Mudahnya, kalau dilakukan juga negara akan ditimpa kemudaratan! Maka begitulah jalan hujah KJ sepanjang debat–negara tidak mampu dan akan bakal bankrap kalau hapus PTPTN.

Menarik disebutkan wawancara Pengerusi PTPTN, sejurus selepas Debat dalam warta RTM, bahawa anak Melayu akan menghadapi masalah kerana mereka memerlukan PTPTN untuk belajar. Mereka bakal menjadi mangsa ketika PTPTN dimansuhkan oleh PR, tegas beliau.

Sah! Pengerusi PTPTN ini jelas tidak fahami tajuk debat malam itu. Mangsa apa pulak kalau Pendidikan Percuma! Apakah ini membayangkan kegagalan pendebat? Tentunya tidak. Tetapi itulah jenis pembohongan yang ditaja media kongkongan kerajaan Umno-BN seperti didakwa ramai. Kerap memutar belit atau ‘spin’ isu-isu politik nasional! Mangsanya penonton yang tidak ada maklumat alternatif. Amat Malang.

Wajar diingatkan 19 negara di dunia memberi ‘pendidikan percuma’ dalam pelbagai pendekatan dan kaedah pelaksanaan di peringkat universiti. Dari jumlah itu lapan negara yang tidak langsung mengenakan yuran universiti: Argentina, Brazil, Finland, Jerman, Iran, Mexico, Sweden dan Arab Saudi.

RR jelas sandarkan hujah beliau bahawa negara ini kaya. Benar, Bank Dunia mengiktiraf bahawa Malaysia adalah antara negara terkaya di dunia diukur di segi ‘sumber per kapita’. Sudah tentu sama atau lebih kaya dari kebanyakan negara tersenarai tadi.

Tegasnya RR berhujah bahawa negara yang menjana RM181 bilion pendapatan setahun ini mampu memberikan pendidikan percuma, seandainya rasuah dapat dikekang, ketirisan dikurangkan dan prioriti diperbetulkan.

Lebih baik kalau RR tegaskan bahawa Pendidikan Percuma lebih mampu kita lakukan ketika seluruh “Belanjawan Kerajaan Persekutuan” disusun dan dirangka semula berdasarkan satu “Perhitungan Keutamaan” atau “Fiqh-Awwaliyat” dalam satu pencernaan belanjawaan baru oleh sebuah kerajaan baru yakni Pakatan Rakyat.

Segala keutamaan disusun dan dilaksanakan belanjawaan itu dalam satu ‘delivery system’ yang juga ditambah baik. Pendidikan Percuma pasti tidak mampu dilakukan dalam kerangka ‘paradigma’ belanjawaan yang tidak benar-benar “Mengutamakan Kemakmuran Rakyat” sebaliknya “Mengutamakan Pengkayaan Kroni” dengan memacu projek mega-mewah untuk ‘Pertumbuhan KDNK’ semata-mata. Akhirnya wujud ‘infrastruktur yang kelas dunia’ tapi ‘mentaliti kelas ketiga’ seperti diulangi RR kenyataan seorang mantan PM.

Lebuh raya dan menara terus dibina dan modal insan jauh keciciran. ‘Pendidikan Percuma’ adalah satu juzuk dari pelbagai pendekatan program memakmurkan rakyat yang bakal dilaksanakan Pakatan Rakyat ketika diberi mandat mentadbir Negara dalam satu ‘trajektori pembangunan’ yang berbeza. Ia tidak boleh dilakukan secara runcit atau ‘piece-meal’ dan semestinya juga tidak mengulangi pelbagai kepincangan lama.

Ia adalah dalam rangka besar sebuah ‘Kerajaan Berkebajikan’ yang mengambil alih tanggungjawab membekalkan ‘essential services’ di segi Pendidikan, Kesihatan dan Pengangkutan, sementara mengizinkan rakyat hidup bermaruah dengan pendapatan boleh berbelanja (disposable income) yang menasabah dengan penurunan kos saran hidup ketika ‘perkhidmatan utama’ tidak diperdagangkan kepada pihak konsesi atau kroni.

Ia memberi peluang yang saksama dan lumayan untuk rakyat bersaing dan merealisasikan potensi membangunkan diri dan ‘enterprises’ mereka serta menjana kekayaan tanpa kekangan oleh kerajaan yang ‘turut bersaing’ dengan rakyat dan pihak. Lebih buruk dengan segala bentuk ‘monopoli’ dan amalan kronisme yang membawa kepada ketidakefisienan bahkan pengherotan (distortion) pasaran.

Desakan RR dilihat semacam membuat serangan peribadi ketika mendesak KJ menjawab tentang kehilangan dana Petronas, NFC dan juga pelupusan hutang seorang tokoh korporat dalam kes MAS. Kesemuanya contoh menghilangkan daya dan dana kerajaan memberi Pendidikan Percuma. Berbilion ringgit lagi hangus dengan rasuah dan ‘bailout’ GLCs dan syarikat kroni.

RR juga mengemukakan unjuran hutang yang cukup mengerikan tentang peminjam PTPTN sejak ia diperkenalkan. Kadar bayaran balik yang rendah sebanyak 10 peratus itu beliau samakan dengan senario satu ‘implosion’ atau ‘letupan hutang’ yang semacam ’time-bom’ seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan negara lain yang menggunakan kaedah pinjaman yang sama seperti PTPTN.

Penulis tentunya tidak adil kalau tidak membuat komentar kepada hujah-hujah KJ yang dilihat juga meyakinkan penyokong tegarnya dan mungkin juga mereka yang ‘atas pagar’. Namun angka-angka yang beliau kemukakan banyak yang tersasar. Dakwaan pemansuhan PTPTN itu akan menjadikan negara bankrap adalah mengejutkan.

Sedikit sangat singgungan Debat yang membicarakan tentang ‘Hala Tuju Pendidikan Tinggi’. Penulis memahami kekangan kedua-dua pendebat untuk mematahkan hujah lawan, ditambah pula kaedah Debat agak rumit dan masa cukup terhad. Pelbagai aspek pendidikan tinggi wajib dperdebatkan.

Untuk pengetahuan umum, PTPTN juga adalah saluran kroni mendapat habuan menjalankan IPTS. Paling mutakhir adalah tuntutan sebuah kolej swasta yang menuntut PTPTN membayar RM15 bilion untuk membiayai pelajar jururawat dan perubatannya. Kolej ini mengenakan RM90,000 kepada pelajar jururawat yang beum pasti akan mendapat pekerjaan setelah tamat. Apakah ini wajar diteruskan? Apakah penyelesaiannya? Apakah pula konsep Pendidikan Tinggi Negara yang wajar diorientasikan PR?

Pun begitu kedua-dua pendebat muda ini akan terus menjadi ‘benchmark serta ikon’ kepimpinan politik generasi muda di negara bertuah ini. Debat ini dibantu dengan moderator yang bertindak cemerlang dan berkesan dalam mengemudi setiap saat perdebatan.

Terima Kasih kepada penganjur dan semua media yang membudayakan Politik Baru yang bakal menjadi wahana paling penting dalam melonjakkan pendewasaan politik serta akumen keupayaan kepimpinan dan akhirnya nanti mendaya pembinaan ‘human capital’ serta daya saing negara.


SUMBER : SINAR HARIAN

Khamis, 17 Mei 2012

'Jangan golek punggung depan saya'

Minggu ini, saya mahu tulis lain sedikit daripada biasa. Terpaksa jadi lain kerana tindak tanduk berpolitik di negara kita juga sudah jadi lain macam. Semakin kebudak-budakan.
Ada yang bergolek punggung di depan rumah orang. Ada pula yang berhimpun makan ais krim, kononnya untuk mengajar orang ramai jangan jilat ais krim di dalam tandas. Ya, kita tahulah... motifnya adalah politik.
Saya bukan mahu menghakimi sama ada asbab pada perbuatan itu betul ataupun salah. Akan tetapi, situasinya pada saya semakin parah apabila orang kita semakin hari dilihat semakin memberi perhatian terhadap hal remeh temeh, picisan untuk dicampur aduk menjadi isu politik yang akhirnya membawa politik kita bukan semakin matang tetapi kebudak-budakan.
Saya ingat lagi, tidak lama dulu pernah jadi isu apabila satu kumpulan yang tidak berpuas hati dengan seorang menteri besar, mengugut mahu mengejar dan berbogel di depan menteri besar itu.
Kononnya, mereka sanggup bertelanjang di depan khalayak ramai untuk memperjuangkan hak golongan miskin mendapatkan kadar sewa yang murah bagi rumah PPR.
Walaupun kesudahannya tidaklah sampai ada yang berbogel namun ugutan itu sahaja bagi saya sudah cukup mencemarkan.
Apa pandangan anak-anak kita yang masih di bangku sekolah apabila tahu akan hal bapa-bapa yang tidak tahu malu ini mengugut untuk berbogel di depan khalayak ramai, di depan pemimpin negeri?
Kita boleh kata, peduli apa mereka hendak berbogel, bukan mereka nak tengok kita punya tetapi mereka nak tunjuk mereka yang punya!
Tetapi soalnya, apa yang saya fikirkan ialah mereka ini saya amat pasti adalah orang-orang yang waras. Dan lebih saya fikirkan lagi kerana apa yang mereka ancam hendak lakukan itu - satu perbuatan yang sangat tidak waras - ada kaitannya dengan politik.
Ini bererti, satu budaya berpolitik yang baharu, yang tidak pernah kita fikir akan berlaku, telah menyelinap masuk ke dalam masyarakat kita. Budaya ini pula adalah sesuatu yang amat memalukan. Itulah yang saya bimbangkan!
Walaupun tetap menyalahi undang-undang dan hukum moral namun tidaklah sampai meloya tekak jika yang dibayangkan itu budak yang masih belum akil baligh, belum bersunat dan kira-kiranya masih dalam keadaan comel untuk dibogelkan. Namun yang sebaliknya ugut mahu berbogel itu ialah bapak budak!
Memang isu itu sudah lama senyap namun bukan mustahil ia boleh muncul semula apabila budaya politik kebudak-budakan dan tidak masuk akal mulai popular di negara kita. Lihat sahajalah, senyap isu ugut bogel, timbul cerita bergolek punggung di depan rumah orang.
Kalau pun hendak berjuang, bukan itu caranya. Berjuang biarlah secara bijaksana. Orang berjuang untuk mempertahankan maruah, bukannya menjatuhkan maruah. Saya mendoakan di tanah air kita yang tercinta ini, janganlah timbul lagi tindak-tanduk politik murahan seperti ini.
Dan satu lagi, selepas tulisan saya ini disiarkan, janganlah saya pula yang diburu. Saya tidak mahu tengok kerana apa yang mereka ada, saya sendiri pun ada. Sama sahaja, masing-masing sudah tidak comel lagi!

Khamis, 10 Mei 2012

Tuduh Muslim kafir, Majlis Fatwa wajar bertindak

MENUDUH seorang yang Islam sebagai kafir, bermakna kekafiran itu akan terkena pada dirinya sendiri. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.

Saya sebagai Pesuruhjaya Pas Perak sangat kesal dengan kenyataan Tan Sri Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara dan kesal dengan media-media yang menyiarkan kenyataan melampau tersebut.

Selama ini, kita melihat beberapa kenyataan menghina Islam, undang-undang Islam dan para ulama sudah bermain di lidah-lidah pimpinan Umno dan Barisan Nasional sendiri. Ada di antara mereka yang mempermainkan hudud, menghina Islam dan mengeluarkan fatwa-fatwa yang sesat. Apa yang kita kesali, kenyataan mereka ini disiarkan oleh media dan disebarkan kepada masyarakat umum.

Antara yang terbaru, Pas telah dianggap sebagai parti ajaran sesat. Terbaru, menuduh pula Mursyidul Am Pas sebagai “Bapa Kafir”. Persoalannya, kenapakah kenyataan seperti ini pula yang disiarkan oleh media, dan ke manakah perginya Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan Perhimpunan Bersih 3.0?

Apabila kita mengkaji sirah para nabi AS, ada dari kalangan mereka yang dituduh sebagai gila, ahli sihir dan jahat. Nabi Muhammad SAW sendiri dituduh cuba menyesatkan masyarakat Mekah dengan ajaran-ajaran yang baru.

Kerajaan banyak melakukan kemungkaran seperti rasuah, menipu dalam pilihan raya, kronisme dan banyak lagi. Mereka juga menggunakan unsur-unsur hiburan haram untuk meraih undi. Adakah kita hanya sekadar berdiam diri? Tuduhan melulu Rahim Nor juga sepatutnya diambil tindakan yang sewajarnya, bukan hanya berdiam diri.

Justeru rakyat Malaysia perlu sedar, bahawa kewajipan mereka untuk menukar kerajaan yang zalim seperti ini. Rakyat perlu sedar bahawa mencegah kemungkaran itu satu kewajipan yang disuruh oleh Islam. Rakyat perlu sedar bahawa mereka wajib untuk memperjuangkan keadilan, dan menghapuskan kezaliman.

Abu Bakar Hussian, Pesuruhjaya Pas Perak

Isnin, 30 April 2012

Belajar percuma, PTPTN harus kekal

Oleh : Ong Tee Keat

Apakah ura-ura hendak menghapuskan skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini diperjuangkan oleh sesetengah pihak boleh disamakan dengan perjuangan bagi menawarkan pengajian tinggi percuma di semua IPTA? Ini tetap merupakan satu polemik yang menarik dalam kalangan beberapa pihak, bukan saja terhad kepada orang politik.
Sepintas lalu, kita dapati ramai siswa yang masih dibebani potongan gaji untuk membayar balik hutang pinjaman itu mengharapkan agar tunggakan mereka itu dapat dihapus-kira. Itu lebih berkisar kepada perhitungan kepentingan peribadi.
Jika itu saja yang menjadi faktor pendorong kepada pembantahan, bahkan pembasmian skim PTPTN, maka adalah ternyata ia tidak mengambil kira kepentingan peminjam-peminjam lain yang telah dan sedang membayar balik pinjaman mereka.
Lebih-lebih lagi, ia juga akan menegak satu budaya yang kurang menyenangkan, iaitu janji membayar hutang bolehlah dipandang sepi.
Oleh yang demikian, kenapa tidak cadangan pengajian tinggi percuma dijadikan satu perjuangan atau agenda politik pilihan raya (jika orang politik ghairah sangat hendak berbuat demikian) yang berasingan? Memang tidak salah jika rakyat kita berimpian agar pengajian tinggi percuma dapat ditawarkan kerajaan di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA/S).
Sebenarnya impian itu adalah sama seperti adanya kemahuan rakyat yang menuntut pendidikan percuma bagi peringkat menengah beberapa dekad yang lalu. Justeru, tidaklah wajar impian sebegini dicorakkan politik sesebuah parti semata-mata kerana ia kelihatan diperjuangkan oleh parti yang berkenaan. Sebaliknya, adalah perlu impian berkenaan dikupas secara rasional dari sudut pro dan kontranya terhadap masa depan negara.
Pada hemat saya, perjuangan bagi menawarkan pengajian tinggi percuma di IPTA tidak semestinya boleh mewajarkan penghapusan skim PTPTN. Dalam hubungan ini, biarpun impian pengajian tinggi percuma menjadi kenyataan, skim PTPTN tetap boleh dikekalkan untuk menampung keperluan pinjaman pengajian tinggi bagi mereka yang menuntut di IPTS.
Ternyata sekali polemik pemansuhan PTPTN yang tengah menyemarak sekarang kehilangan fokusnya. Sekiranya pihak Lembaga PTPTN ingin mempertimbangkan ura-ura hapus-kira tunggakan pinjaman, adalah lebih wajar keutamaan diberikan kepada mereka yang berjaya memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.
Ini kerana buat masa sekarang masih lagi terdapat ramai siswa cemerlang yang berijazah kelas pertama dikehendaki membayar balik pinjaman mereka. Sedangkan tidak kurang juga siswa-siswi cemerlang lain yang diberi pengecualian membayar balik berikutan adanya pengumuman pengecualian yang dibuat oleh kerajaan pada tahun yang tertentu.
Keadaan tidak seragam ini mudah dipertikaikan. Justeru, penyeragaman dalam usaha mengecualikan pembayaran balik pinjaman bagi semua peminjam ijazah kelas pertama itu perlulah diberi pertimbangan wajar demi keadilan, bukannya untuk kepentingan politik pilihan raya.
Kita memang boleh memahami sebab-sebab semakin terserlahnya isu-isu sepatutnya tidak berhubung kait langsung dengan politik kepartian tiba-tiba dijadikan agenda politik pilihan raya yang luas membara. Itu pun boleh kita terima sebagai hak pilihan individu atau parti politik tertentu atas nama demokrasi.
Namun pada masa sama, rakyat yang dahagakan kematangan demokrasi tetap juga mengharapkan orang politik daripada kedua-dua pihak - parti pemerintah dan parti pembangkang agar berpolitik dengan lebih matang lagi bertanggungjawab.
Sebarang visi perjuangan mereka yang dilontarkan kepada rakyat perlulah berasaskan logik yang meyakinkan dan perhitungan yang realistik. Ia tidaklah sekadar impian yang dilakar semata-mata untuk memancing undi dalam pilihan raya sahaja.

SUMBER : SINAR HARIAN

Widget Busuk