Memaparkan catatan dengan label TERENGGANU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TERENGGANU. Papar semua catatan
Sabtu, 2 Jun 2012
Kerajaan Negeri tanggung kos rawatan Nur Fatihah
ALOR LIMBAT – Kerajaan Negeri akan menanggung kos rawatan kanak- kanak istimewa, Nur Fatihah Abdul Karim, 11, dari Gong Kiat dekat sini, yang mengalami penyakit Arthrogyroposis Multiplex Congenita With Bilateral Ctev sejak dilahirkan.
Perkara itu dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengadakan lawatan ke rumah sewa keluarga Nur Fatihah di Kampung Gong Kiat di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah.
Terdahulu, pada Khamis lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah kanakkanak malang yang tabah menjalani kehidupannya walaupun menghidap penyakit yang juga dikenali sebagai penyakit sendi lembik. Akibat penyakit itu, kedua belah tangan dan kedua belah kaki Nur Fatihah seperti ketiadaan sendi serta tidak dapat dibengkokkan namun dia masih mampu menulis dengan baik menggunakan jari tangan selain menaip papan kekunci e-Book menggunakan jari kakinya.
Nur Fatihah yang belajar di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong itu akan menjalani pemeriksaan dan rawatan rapi di bawah penyeliaan pakar saraf di sebuah hospital di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.
Ahmad berkata, sekiranya ada cara untuk memulihkan Nur Fatihah pihaknya akan meneruskan usaha bagi merawat dan memulihkan anak kepada pasangan Mahani Mat Leha, 33, dan Abdul Karim Abdullah, 39, itu dan kos perubatan ditanggung Kerajaan Negeri.
Ahad, 27 Mei 2012
Londeh seluar di mahkamah
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret, di sini, semalam gempar apabila pemuda yang dituduh atas kesalahan mencuri di sebuah kedai menjual haiwan peliharaan, melondehkan seluarnya sejurus masuk ke dalam kandang tertuduh.
Perlakuan tertuduh, Mohd Khairul Hamimi Mohd Sabri, 25, yang separuh bogel itu telah menggemparkan suasana di mahkamah, sebelum Majistret Abdul Hayyi Salim terpaksa mengarahkan polis bertugas agar menggari kedua belah tangannya sepanjang pertuduhan dijalankan.
Bukan itu sahaja, dia yang berasal dari Kampung Tebakang, Bukit Payung, Marang turut meracau-racau kononnya menampakkan dia seorang yang tidak waras sambil memohon agar mahkamah menghantar dirinya ke wad sakit jiwa kerana mendakwa sudah lama tidak makan ubat.
“Bos (Majistret), saya memang melakukan curi itu tetapi bos masukkan saya dalam hospital sebab saya gila. Sekarang ini, kepala saya tengah sakit dan saya perlu makan ubat,” katanya yang telah menarik perhatian orang awam yang berada di galeri awam mahkamah.
Terdahulu, Mohd Khairul Hamimi mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dibacakan oleh jurubahasa.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa pada 22 Mei lalu jam lebih kurang 7 petang hingga 23 Mei lalu jam lebih kurang 8.55 pagi bertempat di kedai menjual Haiwan Peliharaan dan Aquarium Ming Yu Two, Jalan Hiliran Masjid, Chabang 3, telah melakukan pecah rumah dan curi dengan memasuki kedai milik Lim Chew Siang, 41, dengan mencuri 50 ekor burung banji dalam sangkar dan 45 ekor arnab dalam sangkar besi yang dianggarkan RM5,000.
Mohd Khairul Hamimi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara boleh sampai 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Abdul Hayyi kemudiannya memerintahkan Mohd Khairul Hamimi dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru untuk menjalani rawatan psikiatri selama sebulan dan menetepkan 24 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Langgan:
Catatan (Atom)

