Transformasi pendidikan mampu kurangkan kadar keciciran 6 peratus setahun
KUALA LIPIS: Mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli sebanyak enam peratus setahun mulai tahun depan, adalah antara tujuh inisiatif baru dalam Transformasi Pendidikan Orang Asli.
Program yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik Orang Asli itu turut mengambil kira penambahan pelajar mengikuti Program Khas Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu adalah perubahan holistik dengan memberi penekanan pelbagai faktor yang dapat melonjak kecemerlangan pendidikan murid, guru, ibu bapa dan komuniti golongan berkenaan.
Beliau berkata, transformasi itu bermula dengan meningkatkan kualiti kepemimpinan dan pengurusan sekolah yang mempunyai murid Orang Asli termasuk di Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan kementerian.
Katanya, ia bagi memastikan segala isu dan permasalahan murid Orang Asli dapat diselesaikan segera tanpa membelakangkan sosio budaya yang diamalkan.
“Inisiatif kedua pula menawarkan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) seperti penyelenggaraan motor, kemahiran dalam industri berasaskan getah, kraf, kemahiran rekaan fesyen dan keusahawanan di peringkat menengah rendah.
“Menerusi inisiatif ketiga mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli, kita berharap dalam tempoh lima tahun akan datang dapat memastikan mereka berjaya memperoleh sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika melancarkan Transformasi Pendidikan Orang Asli Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Betau, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, S K Devamany.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam inisiatif keempat, PISMP bertujuan menyediakan lebih ramai guru Orang Asli berkhidmat semula kepada kaum mereka dan ia akan dilaksanakan bulan depan dengan pengambilan pertama seramai 25 orang.
“Menerusi inisiatif yang sama, kita akan mewujudkan jawatan Pembantu Pengurusan Murid daripada kalangan Orang Asli bagi membantu guru mengurus penyediaan makanan, penjagaan diri dan kebersihan murid. Ia sedang diperhalusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju menambah empat lagi Sekolah Model Khas Komprehensif K9, gabungan pendidikan menengah rendah dan menengah lengkap dengan kemudahan asrama menerusi inisiatif kelima program transformasi itu.
Ia membabitkan perbelanjaan RM32 juta akan dimulai tahun depan di Perak, Selangor, Johor dan Pahang dan ketika ini, terdapat dua sekolah sedemikian iaitu di Paloh Hinai, Pekan dan Long Bedian, Sarawak.
Di CAMERON HIGHLANDS, Muhyiddin mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan hampir RM4 juta untuk membina dan menaik taraf beberapa kemudahan untuk kegunaan orang ramai di daerah ini.
Kelulusan itu membabitkan RM1 juta untuk kerja menaik taraf padang bola, RM2 juta untuk membina sebuah dewan masyarakat untuk kaum India dan RM900,000 untuk pembinaan enam gelanggang futsal.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Pahang ketika berucap mewakili Muhyiddin pada Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands di sini, semalam.
Timbalan Perdana Menteri yang dijadualkan menghadiri majlis itu pada jam 11 pagi, membatalkannya selepas helikopter dinaiki beliau tidak dapat mendarat di sini berikutan kabus tebal dan berjerebu.
Jumaat, 22 Jun 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan