Ads 468x60px

Jumaat, 22 Jun 2012

Ketepi sempadan kerja


Pendekatan batas bidang kuasa jejas aspirasi rakyat: PM

PUTRAJAYA: Pecahkan tembok antara kementerian serta agensi serta jangan terlalu taksub menjaga sempadan kerja masing-masing, kata Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan membataskan bidang kuasa tidak boleh diguna pakai kerana rakyat mahukan penyelesaian inovatif dan kreatif.
“Aspirasi rakyat tidak dapat dipenuhi jika kementerian dan agensi kerajaan bersikap terlalu ‘teritorial’ (taksub menjaga sempadan) selain cenderung melindungi ‘turf’ (laman) sendiri. Kita menjaga bidang kuasa masing-masing tetapi tidak memikirkan jika merentasi sempadan, kita bukan saja boleh mencetuskan keputusan, malah hasil juga jauh lebih tinggi.

“Sebab itulah kita melancarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan, di mana kita cuba pecahkan tembok antara kementerian dan agensi. Banyak kejayaan dicapai dengan aplikasi kreatif dan inovatif dalam setiap penyelesaian.

“Apa pun dasar atau peraturan kita buat, tidak boleh satu rumusan untuk semua masalah, sebaliknya mesti ada pengecualian kepada realiti,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, semalam.

Perdana Menteri juga menekankan kepada pegawai kebajikan KPWKM mengenai keperluan memahami kumpulan sasar dan jangan hanya melihat sesuatu kes sebagai gambar atau angka kerana di sebaliknya ada individu yang perlu dibantu. 
Najib menjadikan pengalaman turun padang di Sandakan, Sabah sebagai contoh di mana beliau berbual dengan seorang bekas pemandu teksi yang memindah hak milik rumah kepada anaknya tetapi kemudian diabaikan.

“Atas kertas, kita lihat orang ini ada anak bekerja, ada pendapatan, ada rumah dan tidak perlu bantuan tetapi hakikat anaknya kini cuba mengusirnya dari rumah tidak diketahui jika tidak turun padang. Orang seperti ini harus kita pertimbangkan untuk bantuan kerana dia terdesak berikutan perbuatan anak sendiri. Pegawai kebajikan mesti faham aspek ini,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memerlukan model ekonomi mapan untuk terus berkembang dengan hasil negara meningkat, sekali gus menambah sumber kewangan yang boleh diagih pada sektor sosial.

Katanya, semua kementerian dan agensi kerajaan perlu pendekatan lebih kreatif dan inovatif untuk mencari sumber tambahan daripada pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi melaksanakan lebih banyak program kebajikan rakyat.


Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk