Ads 468x60px

Selasa, 12 Jun 2012

Dadah RM10j dalam kilang terbakar

JOHOR BAHRU: Polis menemui sejumlah dadah dipercayai pil ecstasy dan syabu bernilai RM10 juta di sebuah kilang yang dijadikan makmal memproses dadah di Pekan Nanas, Pontian selepas kilang berkenaan terbakar, petang kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kebakaran di makmal yang berselindung di sebalik kilang makanan sejuk beku itu berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum polis dimaklumkan mengenainya.
Beliau berkata, operasi makmal dadah itu terbongkar selepas anggota bomba dan penyelamat dari Pekan Nanas dan Pontian yang sedang memadamkan kebakaran di kilang terbabit menemui dadah berkenaan, sebelum menghubungi polis.
“Sepasukan polis Pontian bergegas ke lokasi kira-kira jam 2.30 petang untuk melakukan pemeriksaan sebelum menemui makmal dan dadah dalam bangunan kilang terbabit.

“Pemeriksaan lanjut kemudian dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua JSJN Johor, Asisten Komisioner Kamaruddin A Aziz dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Amer Awal.

Beliau berkata, kilang berkeluasan kira-kira 500 meter persegi itu kini terpaksa ditutup kerana dikhuatiri dadah dan bahan kimia yang terbakar itu boleh memudaratkan kesihatan.
“Unit Forensik Polis Johor dan Bukit Aman sedang mengumpul bahan bukti untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan pengesahan,” katanya yang mengesahkan setakat ini semua dadah yang dirampas belum dibawa keluar dari kilang berkenaan.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa individu dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dadah berkenaan.

“Kita sudah kenal pasti dan polis sedang mengesan mereka. Saya beri jaminan kesemua yang terbabit dalam kes ini akan ditahan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan mereka di bawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkankebakaran terbabit kira-kira jam 1.30 petang dan berjaya mengawal api sejam kemudian.

“Dua jentera dari Pekan Nanas dan Pontian dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran. Bagaimanapun ketika kejadian, tiada sesiapa dalam kilang terbabit,” katanya.

Tinjauan Berita Harian di lokasi kejadian mendapati Unit Forensik Polis sedang sibuk menjalankan siasatan di bangunan kilang dua tingkat itu.

Beberapa kenderaan mewah antaranya Mercedez Benz dan Honda bernombor pendaftaran Singapura dipercayai milik suspek turut berada dalam kawasan kilang terbabit

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk