KUALA LUMPUR – Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak hari ini melancarkan ”Midnight Walking”, sebuah novel seram fantasi yang julung kalinya ditulis dan diterbitkan di Asia.
Novel itu hasil nukilan penulis berusia 17 tahun, Kathryn Chua Min Xi, seorang warga Malaysia yang dilahirkan di Hong Kong, yang mengambil masa tujuh bulan untuk menyiapkan buku fiksyen remaja itu, meskipun sibuk dengan urusan persekolahannya.
"Saya sentiasa mengimpikan untuk menerbitkan buku sejak saya berumur enam, tujuh tahun, tapi bagi buku ini, saya sedang menikmati cuti musim panas pada 2010 dan membaca beberapa novel genre fantasi seram, dan ini memberi inspirasi kepada saya dan saya merasakan saya boleh menghasilkan novel yang lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran itu.
Kathryn, yang menjalani kehidupan awalnya selama 12 tahun di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Beijing, bandar raya yang didiaminya sejak lima tahun lepas, baru saja menamatkan pengajian di sekolah tinggi dan bercita-cita untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Midnight Walking berkisar tentang Lucy Pine, seorang remaja yang tanpa diduga telah menjaga seekor gagak setelah burung itu merempuh tingkap rumahnya pada satu malam.
Di luar pengetahuannya, gagak itu sebenarnya bukanlah gagak, sebaliknya sejenis makhluk dipanggil Cyrus yang melenyapkan roh anak gadis. – BERNAMA
Sumber : Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan