GEORGE TOWN –Seorang pekerja pusat kecantikan ditemui mati selepas dikatakan terjatuh dari tingkat sembilan sebuah pangsapuri di Jalan Batu Uban, di sini awal hari ini.
Sim Leh Hei, 39, yang berasal dari Sungai Puyu, Butterworth ditemui mati terjatuh di atas tangki air kawasan pangsapuri berkenaan kira-kira pukul 4.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, mangsa yang dipercayai mabuk terjatuh dari balkoni rumah teman lelakinya berusia 40-an.
"Menurut teman lelakinya, mangsa datang ke rumahnya malam tadi dan berbual-bual serta mengambil minuman keras sehingga mabuk.
“Pada pukul 3 pagi dia ingin pulang ke rumahnya di Sungai Puyu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, lelaki terbabit yang bimbang tentang keselamatan wanita itu menghalang dia pulang dan membawanya ke dalam bilik untuk tidur.
"Kira-kira pukul 4.45 pagi, lelaki itu yang sedang tidur terdengar bunyi dentuman kuat dan apabila bangun mendapati teman wanitanya tiada di sisi sebelum bertindak mencarinya dan mendapati mayat wanita terbabit berada di bawah,” katanya. – BERNAMA
Sumber : Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan